Polis Sahkan Pembunuhan Abang Presiden Korea Utara Perbuatan Terancang

KUALA LUMPUR – Pembunuhan abang pemimpin tinggi Korea Utara, Kim Jong-nam adalah perbuatan terancang.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, dan wanita Indonesia dikenali sebagai Siti Aishah, 25, yang ditahan tahu mengenai perancangan untuk membunuh Jong-nam.

 

Malah, mereka sudah beberapa kali berlatih sebelum ini.

 

Katanya, kedua-dua wanita terbabit membunuh mangsa dengan cara menyapu toksik di muka mangsa dengan tangan.

 

“Sudah tentu mereka tahu (rancangan pembunuhan). Mereka juga tahu cecair yang disapu itu toksik.

 

“Selepas selesai, kedua-dua mereka diarahkan oleh empat suspek yang sudah meninggalkan negara ini untuk membersihkan tangan di tandas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, sebentar tadi.

 

Khalid berkata, reman kedua-dua wanita itu yang tamat hari ini akan disambung tujuh hari lagi bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

 

Manakala, lelaki tempatan yang juga teman lelaki Siti Aishah, Muhammad Farid Jallaludin dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

 

Jong-nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu selepas diserang di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.