Pesawat Terhempas Atas Pusat Beli Belah

 

SYDNEY – Seorang juruterbang dan empat penumpang warga Amerika Syarikat (AS) maut apabila pesawat mereka terhempas di atas bumbung sebuah pusat beli-belah semalam sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang kecil di luar Melbourne, bandar kedua terbesar di Australia, kata polis.

 

Timbalan Komisioner Polis Negeri Victoria, Stephen Leane berkata, kapal terbang enjin kipas berkembar Beechcraft King Air itu mengalami kegagalan enjin dan terhempas di atas pusat beli-belah itu berhampiran hujung landasan Lapangan Terbang Essendon.

 

Beberapa saksi memberitahu agensi berita Australia Associated Press bahawa pesawat itu meletup apabila terhempas.

 

“Terdapat lima orang di dalam kapal terbang ini dan tiada sesiapa terselamat,” kata Leane.

 

Nahas berlaku sekitar pukul 9 pagi, kira-kira sejam sebelum pusat beli-belah itu dibuka, manakala tiada kematian lain dilaporkan.

 

“Kesemua mangsa merupakan lelaki dengan juruterbang ialah warga Australia dan empat penumpang terdiri daripada rakyat AS,” kata polis Victoria dalam satu kenyataan kemudian.

 

Semasa kejadian, pesawat itu menuju ke Pulau King di Selat Bass di antara tanah besar Australia dan Pulau Tasmania.

 

Menurut akhbar tempatan, sekurang-kurangnya dua lelaki berkenaan menaiki pesawat itu untuk bermain golf di Tasmania.

 

Nahas disiasat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia. – Reuters/Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.