Orang Islam Kutip Derma, Baiki Kubur Yahudi

KUALA LUMPUR ― Sekumpulan aktivis Islam berjaya mengutip US$20,000 (RM89,000) dalam masa hanya tiga jam bagi membaiki kubur masyarakat Yahudi yang dirosakkan.

 

ProjekMMO melaporkan, sumbangan melalui internet di laman web Goodlaunch, kini mengumpul US$55,000, asalnya bagi kubur di Missouri yang dirosakkan hujung minggu lepas.

 

Kutipan itu untuk memulihkan lebih 170 batu nisan yang dipecahkan di kubur Chesed Shel Emeth, sementara selebihnya akan digunakan untuk pusat komuniti yang turut dirosakkan.

 

Kempen yang digerakkan Linda Sarsour, mewakili MPower Change, dan Tarek El-Messidi, aktivis CelebrateMercy, ingin membangunkan semula kubur tersebut yang digunakan sejak 1800-an.

 

“Melalui kutipan dana ini, kami berharap menyampaikan mesej perpaduan masyarakat Yahudi dan Islam bahawa tiada tempat untuk kebencian, kerosakan dan keganasan di bumi Amerika Syarikat,” kata mereka dalam mesej di Goodlaunch.

 

Sejak awal tahun ini, lebih 50 pusat masyarakat Yahudi menerima ancaman bom. Sementara belasan pusat berkenaan menerima ugutan berkali-kali, lapor The New York Times semalam.

 

Menurut laporan portal CNN, polis tidak menjelaskan bila kerosakan dilakukan tetapi menerima aduan pada Isnin lalu. Polis juga belum mengenal pasti pelakunya atau motif ia dilakukan.

 

Hujung bulan lalu, masyarakat Yahudi di Texas membenarkan umat Islam menggunakan rumah ibadat mereka selepas sebuah masjid di bandar kecil Victoria terbakar awal pagi.

 

“Kami saling mengenali, saya sendiri kenal beberapa anggota jemaah masjid itu, jadi kami juga terasa [dengan kepayahan mereka],” kata Robert Loeb, seorang pemimpin Yahudi.

 

Kutipan derma dalam talian dan sumbangan orang ramai dilaporkan berjumlah US$900,000 untuk pembinaan semula Pusat Islam Victoria.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.