Noorkumalasari ‘Jumpa’ Ibu Di Mekah

TIADA apa yang menggembirakan penerbit drama terkenal, Md. Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zil selain daripada melihat aktres tersohor negara, Noorkumalasari merealisasikan hasratnya membintangi drama Pintu No. 9.

 

Apa yang membuatkan Haji Zil sebak dan terharu juga adalah, pelakon hebat itu memberikan lakonan yang hebat dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam ketika menjalani penggambaran di kota suci Mekah.

 

Menurut Haji Zil, penghayatan watak oleh bintang legenda itu juga menyebabkan pelakon-pelakon lain dan seluruh krew produksi menitiskan air mata.

 

“Lakonan Kak Noor (Noorkumalasari) masih hebat seperti dahulu malah penghayatannya sangat bagus. Disiplinnya berada di tahap paling tinggi bahkan persediaannya dari segi mental dan fizikal sangat mengujakan kami pihak produksi,” ujar Haji Zil kepada Utusan Online menerusi WhatsApp.

 

Beliau kini berada di Mekah bersama pelakon-pelakon Pintu No. 9 dan krew produksi.

 

Drama Pintu No. 9 merupakan sebuah naskhah yang mengupas kisah percintaan pasangan pelakon legenda negara, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum iaitu ayah dan ibu Noorkumalasari.

 

Dalam drama berkenaan, Noorkumalasari melakonkan semula watak Allahyarham ibunya dan barangkali kerana faktor itu, Haji Zil berpendapat, aktres berkenaan berjaya memberikan lakonan yang berkesan.

 

“Kak Noor memberikan lakonan yang sangat bagus sebab cerita ini amat dekat dengan jiwanya. Banyak adegan dia mengalirkan air mata dengan sepenuh hati terutama babak akhir di saat bapanya menghembuskan nyawa yang terakhir. Semua krew dan artis lain turut menangis bersama,” ujar Haji Zil lagi.

 

Selain Noorkumalasari, 61, yang memegang watak Umi Kalthum, drama Pintu No. 9 turut menampilkan aktor Zulkifli Ismail sebagai S. Roomai Noor, pelakon baharu Cik Manggis dan Aidit Noh.

 

Menurut Haji Zil, penerbitan Pintu No. 9 merupakan gabungan idea team produksi Zeel Production Sdn. Bhd. iaitu syarikat produksi yang dikendalikannya.

 

“Persetujuan Kak Noor untuk membintangi drama ini juga adalah kerana ia merupakan kisah benar keluarganya. Kami di Zeel Production sangat-sangat menghargai komitmen yang beliau tunjukkan,” ujar Haji Zil yang begitu menghormati karisma Noorkumalasari.

 

Drama Pintu No. 9 dijangka ditayangkan di salah sebuah saluran Astro sepanjang sambutan Hari Raya Haji nanti. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.