Najib Sokong Visi, Misi Saya – TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyokong misi dan visi yang ingin dibawa jika beliau dipilih menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Tunku Ismail berkata Najib turut teruja dengan perubahan yang ingin dibawa dalam bola sepak negara.

 

“Saya rasa perdana menteri (Najib) mengetahui agenda yang ingin saya bawa dan beliau teruja dengan perubahan yang ingin dilakukan (dalam bola sepak negara).

 

“Kita bincang, dan beliau faham visi dan misi. Secara jujurnya, Najib sokong idea yang ingin dibawa dan beliau terdesak untuk melihat perubahan terhadap liga dan pasukan bola sepak negara,” katanya pada sesi perjumpaan Tunku Ismail bersama penyokong bola sepak negara di Hotel Grand Hyatt.

Tunku Ismail berkata demikian apabila ditanya seorang daripada penyokong bola sepak mengenai pertemuannya dengan Najib semalam.

 

Tunku Ismail berkata peluangnya memenangi jawatan presiden FAM juga masih 50-50.

 

Tunku Ismail berkata ini berikutan terdapat ahli gabungan FAM yang ingin perubahan dalam bola sepak dan ada yang ingin mengekalkan kuasa sedia ada untuk kepentingan peribadi.

 

“Saya 50-50. Kita tidak tahu ada sesetengah individu yang nak jadi proksi. Lepas jumpa Najib semalam kita lihat apa cerita,” katanya.

 

Seramai 1,000 penyokong bola sepak negara hadir dalam sesi pertemuan itu menjelang pemilihan presiden FAM 25 Mac ini.

 

Sementara itu, Tunku Ismail sempat berseloroh apabila ditanya sama ada takut atau tidak berhadapan pesaingnya, Tan Sri Annuar Musa dalam merebut jawatan presiden FAM.

 

“Uuuu…takut betul,” katanya sambil tersenyum sinis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.