Gilai Anak Trump, 65 Syarikat Mahu Jenama ‘Ivanka’

LONDON ― Syarikat-syarikat China kini tergila-gilakan anak perempuan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump apabila ingin melabelkan produk mereka dengan nama “Ivanka”.

 

Sekurang-kurangnya 65 syarikat, daripada pengeluar arak hingga ke pembuat kertas dinding, memohon menggunakan nama wanita itu sebagai jenama, lapor portal The Independent.

 

Memetik South China Morning Post, portal itu melaporkan syarikat pelangsingan badan mengemukakan 10 permohonan untuk nama itu pada produk kosmetik dan makanan tambahan.

 

Manakala syarikat komoditi Fujian Yingjie mahu menggunakan “Ivanka” untuk tuala wanita seminggu selepas Trump memenangi pilihan raya presiden pada 8 November lalu.

 

Akhbar itu, yang berpangkalan di Hong Kong, juga melaporkan kebanyakan permohonan masih diproses dan tidak pasti sama ada mereka berjaya mendapat hak tanda dagang.

 

Ivanka, anak presiden yang kontroversi itu, mendapat sorotan awal bulan ini apabila gedung Nordstrom enggan dikaitkan dengan aksesori dan pakaiannya atas alasan jualan merosot.

 

Mengulas di Twitter, Trump menyifatkan gedung itu bertindak “tidak adil”. Sementara jurucakap Rumah Putih menganggap keputusan itu “serangan langsung” terhadap dasar presiden.

 

Ivanka, juga bekas model dan personaliti TV, makin popular di China sejak beliau melawat kedutaan republik itu di Washington semasa Tahun Baru Cina.

 

Wanita yang glamor dan makin berpengaruh ini hasil perkahwinan pertama Trump dengan bekas model Ivana Trump.-ProjekMMO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.