Duta Malaysia Ke Pyongyang Diarah Pulang Selamat Tiba

SEPANG – Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad yang dipanggil pulang pada Isnin lepas untuk proses perundingan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

 

Beliau tiba dengan penerbangan Malaysia Airlines MH0361 dari Beijing pada 9.37 pagi bagaimanapun berjaya mengelak daripada bertemu pihak media yang menunggu di 2 pintu keluar iaitu di balai ketibaan antarabangsa dan bilik VIP.

 

Pesawat yang dinaiki beliau berlepas dari Beijing pada 1.30 pagi dan pada awalnya dijadual mendarat di KLIA pukul 8 pagi.

 

Wakil media yang menunggu sejak 6 pagi tadi akhirnya dimaklumkan petugas lapangan terbang dan sumber lain Nizan sudah meninggalkan KLIA.

 

Isnin lepas, Wisma Putra memanggil pulang duta besar itu dan mengarahkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung kematian Kim Jong Nam, iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.

 

Kang Chol dilaporkan memberi gambaran kononnya kerajaan Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan” dan mendakwa Malaysia “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar” dalam kes kematian Jong Nam.

 

Pada 13 Feb lalu, Jong Nam yang berada di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau ditekup mukanya oleh seorang wanita dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun.

 

Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb lalu, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas lapangan terbang, dan diberi rawatan awal di klinik di situ susulan kejadian ditekup muka itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.