Duta Malaysia Dipanggil Balik Dari Korea Utara Selamat Tiba Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Duta Malaysia di Korea Utara yang dipanggil pulang Wisma Putra ekoran pertikaian dalam kes kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un selamat tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

 

Papan tanda di lapangan terbang memaparkan penerbangan MH0361 yang membawa Duta Malaysia, Mohamad Nizan Mohamad tiba kira-kira jam 9.37 pagi dari Beijing.

 

Bagaimanapun, Mohamad Nizan yang diiring pengawai cawangan khas di KLIA tidak bertemu wartawan yang sudah menunggu sejak jam 7 pagi tadi dan dibawa terus ke destinasi tidak diketahui.

 

Terdahulu pada Isnin, kontroversi tercetus selepas Duta Korea Utara, Kang Chol membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Kim Jong-nam dengan mendakwa bersekongkol dengan pihak luar bagi memberikan imej buruk kepada negara republik tersebut.

 

Susulan kenyataan tersebut, Malaysia mengambil tindakan drastik dengan memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan.

 

Pada hari sama, Kementerian Luar juga mengarahkan Chol, untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya berhubung kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan merupakan negara yang berdaulat tidak akan menjadi kuda tunganggan mana-mana pihak.

 

“Kita tidak akan tertekan dalam membuat keputusan di atas pembunuhan Kim Jong-nam.

 

“Kita juga tidak akan menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana negara dalam mempertahankan kedaulatan negara ini,” katanya semalam.

 

Abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari untuk menunggu penerbangan ke Macau, yang dijadualkan sejam kemudian apabila seorang wanita secara tiba-tiba menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi racun.

 

Lelaki itu kemudian meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan klia2 dan dia dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Jong-nam tiba di Malaysia pada 6 Feb dengan pasport menggunakan nama Kim Chol.

 

Setakat ini, polis Malaysia menangkap dua wanita – seorang daripada mereka menggunakan pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah dan seorang lagi menggunakan pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong – serta seorang lelaki Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara.

 

Polis berkata mereka sedang berusaha mengesan empat lagi rakyat Korea Utara yang meninggalkan Malaysia pada hari kematian Jong-nam. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.