Bantahan Projek Kubur Cina Di Kawasan Penduduk Majoriti Islam

PUNCAK ALAM – “Projek jirat Cina ini perlu dihentikan berikutan majoriti penduduk di sini beragama Islam,” ujar seorang penduduk Kampung FELDA Bukit Cherakah di sini, semalam.

 

Melan Ismail, 49, berkata, pembinaan jirat Cina yang terletak di atas bukit FELDA itu mengundang kemarahan penduduk yang rata-ratanya Melayu.

 

Melan yang juga pengerusi jawatankuasa bertindak bantahan pembinaan jirat Cina itu berkata, penduduk berasa terhina dan tercabar apabila projek pembinaan jirat Cina itu tetap diteruskan walaupun pelbagai bantahan sudah dilakukan mereka.

 

“Saya minta mereka datang dan lihat sendiri nasib penduduk, kami adalah penduduk asal namun suara kami langsung tidak didengari.

 

“Projek ini bukan saja memberi kesan kepada kampung kami tetapi turut membabitkan beberapa kawasan lain seperti Kampung Bukit Kapar, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Bandar Puncak Alam dan Bukit Kerayong,” katanya.

 

Cadangan pembinaan jirat Cina di atas bukit di kawasan seluas kira-kira 80 hektar di kawasan itu disedari penduduk bulan lalu selepas kerja penerokaan tanah dilakukan.

 

Berikutan itu kira-kira 50,000 penduduk membabitkan kampung berkenaan membantah pembinaan itu.

 

Minggu lalu, penduduk dengan kerjasama Gerakan Masyarakat Prihatin menghantar memorandum bantahan pembinaan jirat Cina itu yang diserahkan kepada Orang Besar Daerah Kuala Selangor Datuk Yaakob Ismail untuk disampaikan kepada Setiausaha Sulit Istana Negeri Selangor. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.