Bank Rakyat Didakwa Ambil RM18 Juta Setahun Subsidi Buku Siswa

SHAH ALAM ― Bank Rakyat didakwa mengaut RM18 juta setahun wang 1.2 juta pelajar hasil caj dan simpanan pemegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

 

Jumlah itu termasuk kutipan sebanyak RM6 juta apabila bank berkenaan mengenakan bayaran RM5 seorang pemegang kad tersebut, lapor Sinar Harian.

 

Setelah didakwa diseleweng, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 yang dinikmati pelajar selama ini didebit terus dalam KADS1M mulai 2017.

 

Akibat syarat simpanan minimum RM10 di bank itu dan caj RM5, nilai baucar buku setiap pelajar hanya berbaki RM235, lapor akhbar itu yang memetik China Press.

 

Bank Rakyat, yang mengendalikan KADS1M, mempunyai aliran tunai RM12 juta hasil baki minimum RM10 itu, kata seorang ketua bahagian hal-ehwal pelajar sebuah universiti swasta.

 

“Apabila ditambahkan dengan bayaran permohonan sebanyak RM6 juta, Bank Rakyat sekurang-kurangnya sudah memperoleh RM18 juta setahun,” katanya, yang tidak didedahkan identitinya.

 

Bank itu bagaimanapun menafikan cuba mengaut keuntungan daripada wang mahasiswa, malah caj asal KADS1M sebanyak RM8 telah dikurang kepada RM5 setahun.

 

“Namun memikirkan kedudukan kewangan pelajar, bank hanya mengenakan bayaran sebanyak RM5 sahaja,” kata seorang jurucakap Bank Rakyat kepada China Press.

 

“Selepas tamat pengajian, pelajar itu masih boleh menggunakan kad debitnya itu, tetapi yuran tahunannya akan dinaikkan kepada RM8.”

 

Semalam, majlis simbolik penyerahan KADS1M disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Universiti Malaya.

 

Kementerian Pendidikan Tinggi berkata kerajaan mendebitkan BB1M, yang dinikmati kira-kira 1.3 juta mahasiswa, dalam KADS1M untuk menghalang ia disalahguna, lapor Berita Harian. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.