Banjir Landa Jakarta

JAKARTA – Hujan lebat beberapa jam menyebabkan beberapa bahagian di Jakarta dilanda banjir semalam menyebabkan ribuan rumah dan kereta ditenggelami air serta sekurang-kurangnya seorang penduduk maut, kata pegawai.

 

Banjir sedalam 1.5 meter melanda sebahagian besar bandar itu dan beberapa daerahnya akibat hujan lebat sejak malam semalam.

 

Keadaan bertambah buruk di beberapa daerah di Jakarta yang sejak beberapa hari lalu dilanda banjir.

 

Ribuan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan tinggal di pusat pemindahan sementara yang dibuka pihak berkuasa.

 

Badan pengurusan bencana kebangsaan memberitahu, lebih 400 laporan banjir diterima di seluruh Jakarta.

 

Di Bekasi, seorang mangsa ditemui mati lemas dan lebih 280 penduduk terpaksa dipindahkan.

 

Gambar yang disiarkan di Internet menunjukkan banyak jalan utama di Jakarta ditenggelami banjir dan penduduk bermain air di jalan raya.

 

Jurucakap pasukan penyelamat, Sutopo Purwo Nugroho berkata, longkang tidak mampu menampung air daripada hujan lebat dan sungai melimpah di tebing.

 

Jakarta dilanda banjir hampir setiap tahun ketika musim hujan dan penduduk berhampiran kawasan sungai adalah yang paling teruk terjejas.

 

Antara banjir terburuk melanda bandar yang didiami 10 juta penduduk itu adalah pada Januari 2013.

 

Bencana itu menenggelamkan jalan raya di pusat bandar dan mengakibatkan 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan hampir 20 orang maut.

 

Mengatasi masalah banjir di Jakarta adalah antara janji Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama ketika menjawat jawatan itu pada 2014.-AP/Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!