Ustaz Kazim Dibenar Pulang, Akan Berehat Enam Minggu

KOTA BHARU – Penceramah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias, dibenarkan pulang, hari ini selepas menjalani rawatan selama tiga hari, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.

 

Beliau akan bertolak pada jam 2 petang ini dengan menaiki helikopter terus ke Ipoh, Perak.

 

Dalam sidang media yang diadakan di HUSM, di sini, sebentar tadi, beliau yang lebih dikenali dengan Ustaz Kazim berkata, kesihatannya kini semakin pulih dan akan berehat selama enam minggu di rumah seperti dinasihatkan oleh pakar perubatan.

 

“Syukur pada Allah SWT keadaan saya beransur pulih selepas menjalani rawatan angiogram semalam. Kesihatan perlu diutamakan buat masa ini.

 

“Hari ini, keadaan saya semakin pulih, boleh berjalan, cakap dengan lancar dan bernafas dengan baik.

 

“Selepas ini, saya akan berehat di rumah dan sudah membatalkan semua ceramah serta kuliah yang sepatutnya saya hadiri,” katanya.

 

Beliau berkata, meskipun jadual ceramahnya penuh sehingga hujung tahun ini, keputusan untuk berehat sementara waktu itu perlu kerana tahap kesihatannya harus diutamakan.

 

Beliau semalam menjalani rawatan angiogram selama satu jam dan hasilnya mendapati, saluran jantung sebelah kanannya tersumbat.

 

Rawatan dijalankan oleh empat pakar kardiologi yang diketuai Profesor Datuk Dr Zulkurnain Yusof.

 

Ustaz Kazim berkata, dalam tempoh rehatnya, beliau juga akan membuat rawatan susulan dengan doktor peribadinya di Ipoh. Turut bersama dalam sidang media adalah abangnya, Kapten (B) Datuk Mohd Najmudin Elias. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.