Mahkamah Tangguh Bebas Kassim Ahmad

Putrajaya – Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menangguhkan keputusan membebaskan penulis buku dan aktivis, Kassim Ahmad atas dakwaan menghina Islam.

 

Hakim Azzeman Omar menangguhkan keputusan sementara menunggu rayuan yang dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Mahkamah Persekutuan.

 

“Mahkamah berpandangan perbicaraan di mahkamah sivil belum selesai, ekoran tindakan JAWI memfailkan rayuan pada 20 Januari lalu.

 

“Mahkamah Syariah perlu ‘berlaku adil kepada Syarie dan juga tertuduh’,” katanya.

 

Kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengisytiharkan tindakan JAWI menahan Kassim pada 2013 sebagai tidak sah.

 

Hakim menetapkan 1 November sebagai tarikh sebutan seterusnya.

 

Pada 27 Mac 2014, Kassim didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) kerana didakwa menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

 

Pada 6 Mei tahun yang sama, JAWI menambah satu lagi dakwaan di bawah akta sama.

 

Kassim didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika berucap dalam ‘Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia untuk 30 tahun Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana yang diadakan pada 15 dan 16 Februari 2014, sempena ulang tahunnya yang ke-80.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.