JPJ perlu jelaskan punca kenaikan kadar denda

SHAH ALAM – Kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didesak untuk menjelaskan punca sebenar kadar denda bagi penggunaan cermin gelap dinaikkan.

 

Ini kerana menurut Pengerusi Sekretariat Protes AES, Zulhazmi Shariff, kenaikan kadar secara mendadak seperti yang dilaporkan baru-baru mengelirukan pengguna dan mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai.

 

“Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dalam laporan Bernama menafikan bahawa JPJ akan mengenakan denda RM2,000 sebaliknya berkata hanya kompaun maksimum RM300.

 

“Beliau juga dilaporkan berkata “Denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara seperti yang dilaporkan itu adalah bagi undang-undang mahkamah terhadap pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan trafik bagi kesalahan pertama”.

 

“Apa maksud undang-undang mahkamah? Tidak ada undang-undang mahkamah atau bukan mahkamah. Undang-undang hanya satu. Kenyataan tersebut jelas menggambarkan kekeliruan tentang undang-undang dan peraturan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

 
Semalam, JPJ menafikan kenyataan dilaporkan media pada Khamis lalu berkaitan denda RM2,000 yang akan dikenakan bagi kesalahan penggunaan cermin gelap melebihi had, sebaliknya kompaun maksimum yang dikenakan oleh JPJ bagi kesalahan berkenaan adalah sebanyak RM300.

 

JPJ juga dilaporkan menerima maklum balas negatif daripada orang ramai yang tidak berpuas hati kerana pihaknya akan mengenakan denda yang begitu tinggi dan mahu mengaut keuntungan.

 

Zulhazmi dalam pada itu turut menjelaskan perbezaan maksud bagi kompaun dan denda bagi mengelakkan kekeliruan pada masa akan datang.

 

Katanya. kompaun maksimum bagi apa saja jenis kesalahan yang boleh dikompaun ialah RM300 di bawah Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Manakala, denda pula katanya, ialah kadar yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Kaedah, Peraturan atau Akta tertentu melibatkan kesalahan tertentu.

 

“Dalam konteks ini, kadar kompaun maksimum tetap RM300 tetapi Kaedah dipinda menaikkan kadar denda daripada tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih dua minggu kepada denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

 

“Isunya sekarang ialah bagi kesalahan di bawah Kaedah baru ini pemilik kenderaan atau pemandu boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika mereka tidak membayar kompaun yang ditawarkan. Kenapa denda dinaikkan? Itu isunya. Jangan kelirukan orang ramai dengan kekeliruan diri sendiri,” katanya lagi. -sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.