Liga Super 2015: Kelantan Rebah Di Kota Bharu, JDT Seri

KUALA LUMPUR: Kelantan terpaksa melepaskan takhta di puncak Liga Super selepas tewas besar 4-0 kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ketika Selangor mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) di Shah Alam.

 

Selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, Kelantan akhirnya tumbang di laman sendiri, Stadium Sultan Muhammad IV dengan dua gol PDRM disumbangkan penyerang import berbisa, Ashfaq Ali.

 

Ketika permainan seakan hampir tanpa jaringan tamat babak pertama, penyerang Maldives itu meledak pada masa kecederaan sebelum menambah gol kedua pada minit ke-73.

 

Gol kedua PDRM dijaringkan seorang lagi pemain import, Dramane Traore pada minit ke-54 menerusi penalti selepas Ashfaq dijatuhkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat di kawasan penalti.

 

Gol terakhir pelawat kemudian dijaringkan seorang lagi import berkualiti, Mohamadou Sumareh pada minit ke-85.

 

Di Stadium Shah Alam, Selangor terpaksa berhempas pulas sebelum mengikat penyandang juara, JDT 1-1.

 

Beraksi di ribuan penyokong sendiri, Selangor memperoleh suntikan semangat menerusi jaringan Andik Vermansyah seawal pada minit pertama perlawanan yang juga gol terawal Liga Super musim ini.

 

Terdesak memburu jaringan, JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import, Luciano Figueroa pada minit ke-62.

 

Sekalipun lebih menguasai permainan, tiada jaringan tambahan dijaringkan JDT untuk berpuas hati mengutip satu mata di Shah Alam.

 

Di Stadium MP Selayang, FELDA United merampas kedudukan pendahulu liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

FELDA membuka tirai jaringan menerusi Edward Wilson seawal minit ke-15 sebelum menambah jaringan menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-28.

 

ATM cuba bangkit dengan merapatkan jaringan menerusi penyerang kebangsaan, Norsaharul Idlan Talaha pada minit ke-35 namun keputusan kekal tanpa tambahan jaringan selepas wisel permainan ditiupkan.

 

Di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menewaskan Sime Darby 2-1.

 

Kedua-dua gol Terengganu dijaringkan peledak terbanyak musim lepas, Paulo Rangel pada minit ke-45+3 dan 78 dengan gol tunggal pelawat dijaringkan Nemanja Vidakovic pada minit ke-61.

 

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah Perak berbalas gol menentang Lions XII dengan keputusan berakhir seri 2-2.

 

Lions XII begitupun terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Khairul Amri Kamal seawal minit keempat namun Perak menyamakan kedudukan menerusi Chad Souza pada minit ke-26.

 

Memasuki babak kedua, Perak berjaya di depan menerusi jaringan pemain import dari Korea Selatan, Namkung Wong menerusi tandukan pada minit ke-49.

 

Begitupun Lions XII kembali menyamakan kedudukan pemain gantian, Firdaus Kasman pada minit ke-68.

 

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak terpaksa berpuas hati untuk mencatat keputusan seri 0-0 menentang Pahang. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.