Kasut Kulit Babi: New Balance Malaysia Mohon Maaf

Kuala Lumpur – Selepas seorang pengguna laman sosial memuat naik status mengenai tindakan sebuah butik kasut dan pakaian sukan yang disifatkan tidak sensitif dan sengaja mempamerkan kasut yang diperbuat dari kulit khinzir di hadapan premisnya ke akaun Facebook beliau, syarikat berkenaan hari ini tampil memohon maaf.

 

New Balance Malaysia membuat permohonan maaf itu melalui akaun Facebook miliknya dan berkata syarikat itu memahami tahap keseriusan isu ini.

 

Sehubungan itu, langkah serta merta bagi menghormati pengunjung dan pelanggan beragama Islam yang mengunjungi kedai New Balancen telah diambil, kata posting syarikat itu di Facebook.

 

“Tindakan yang telah diambil ialah papan tanda kulit khinzir akan dipamerkan menggunakan saiz yang besar dan posisinya juga akan diletakkan di tempat yang senang dilihat dan digantung bersama kasut buatan produk berkenaan.

 

“Di samping itu juga kasut buatan kulit khinzir akan dibalut menggunakan plastik,” kata syarikat berkenaan dalam kenyataan di laman Facebooknya.

 

Mereka turut menjelaskan, kebanyakan kasut yang dibuat di Amerika Syarikat dan UK adalah menggunakan kulit babi. Namun, kebanyakan model 574 termasuk kasut larian, bersukan dan gym tidak menggunakan kulit haiwan dan boleh digunakan oleh pengguna Islam.

 

Sebelum ini, pemilik akaun Facebook Norhafiz Dellas memuat naik status mendakwa sebuah kedai New Balance di Queensbay Mall, Pulau Pinang tidak sensitif kepada umat Islam.

 

Menurutnya, kedai itu didapati meletakkan kasut ‘kulit khinzir’ di ruang pameran paling hadapan kedai dengan tanda potongan harga sebanyak 50 peratus tetapi pemberitahuan mengenai kasut itu diibuat daripada kulit babi diletakkan di celah belakang kasut.

 

“Seolah-olah sengaja nak bagi orang Muslim terpegang dan keluarga saya sudah tersentuh. Balik terus kena samak.

 

“Nah ambil kau, aku tangkap gambar kedai terus. Jadi kawan-kawan yang lain sila berhati-hati apabila masuk kedai N.B ini atau kedai-kedai yang lain,” katanya dalam entri Facebooknya pada 15 Februari lalu yang turut disertakan gambar-gambar membuktikan dakwaannya.

 

Baca: Kedai Kasut Di Dakwa Sengaja Sembunyi Label Kulit Babi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.