IS Bakar Hidup-Hidup 43 Lagi Tahanan

RAMADI – Kumpulan militan Negara Islam (IS) dilapor terus bertindak kejam dengan membakar sebanyak 43 orang hidup-hidup dalam satu kejadian di wilayah Anbar, barat Iraq, lapor agensi berita Xinhua yang memetik sumber ke­selamatan wilayah itu, hari ini.

 

Terdahulu, anggota IS menahan sebanyak 43 orang penduduk dari kabilah Sunnah, albu-Obeid di bandar al-Baghdadi yang terlibat dengan pertempuran terletak kira-kira 200 kilometer barat laut ibu negara Iraq, Baghdad.

 

Kata sumber itu, mereka yang diculik dipercayai adalah anggota polis tempatan dan ahli kumpulan separa tentera Sahwa yang kemudiannya dipindahkan ke bandar yang dikuasai kumpulan itu di Heet.

 

Tambah sumber itu, kumpulan militan itu meletakkan kesemua tahanan tersebut di sangkar besi sebelum membakar mereka hidup-hidup.

 

Pembunuhan itu berlaku tidak lama selepas pembunuhan 70 orang dalam tempoh 10 hari lalu apabila militan IS menyerang bandar al-Baghdadi dan pangkalan tentera udara berhampiran, Ain al-Asad yang menempatkan ratusan tentera marin Amerika Syarikat (AS).

 

Bagaimanapun, serangan kumpulan itu ke atas pangkalan udara tersebut berjaya dipatahkan pasukan keselamatan dan pesawat AS, sementara pertempuran berterusan di bandar itu selepas tentera Iraq menguasai semula sebahagian kawasan berkenaan.

 

Sementara itu, sumber itu berkata, militan IS dilapor mengepung sebuah kawasan perumahan di bandar al-Baghdadi yang menempatkan berpuluh-puluh keluarga anggota keselamatan dan pejuang Sahwa.

 

Katanya, kesemua penduduk kini berdepan kekurangan bekalaan makanan dan minuman termasuk bekalan senjata dan peluru. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.