Bayi 20 Bulan Maut Dihempap Kereta Bapa

ALOR GAJAH – Seorang bayi berusia 20 bulan maut dalam keadaan menyayat hati selepas kereta yang dipandu bapanya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 201.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini petang semalam.

 

Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Muhammad Anas Nazhan Shamsul Azwan yang dihempap kereta dipandu bapanya, Shamsul Azwan Abu Bakar, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kereta jenis Produa Viva yang turut dinaiki ibu mangsa, Nor Hayati Mat Isa, 30, yang datang dari arah Melaka menuju Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik.

 

“Bayi lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian, ibu mangsa pula mengalami kecederaan parah, manakala bapa mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

 

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah manakala ibunya di rawat di Hospital Melaka,” katanya.

 

Difahamkan, bayi dalam kandungan ibu mangsa yang sedang hamil tujuh bulan tidak dapat diselamatkan.

 

Ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai baru pulang dari bersiar-siar di Zoo Melaka.

 

Muhammad Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.