“Alhamdulillah, Saya Hidup Lagi” – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan pihak tertentu menyebarkan berita palsu mendakwa beliau telah meninggal dunia adalah fitnah berniat jahat.

 

Menurut Ibrahim, beliau masih lagi dikurniakan umur yang panjang serta kesihatan yang baik untuk terus berjuang menentang golongan tertentu.

 

“Maka tuduhan di Viral Broadcast iaitu saya sudah dicabut nyawa oleh Allah SWT adalah fitnah jahat.

 

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kesihatan, fikiran yang waras dan panjang umur untuk terus berjuang menentang puak fasik, puak hipokrit dan puak munafik,” kata Ibrahim yang menganggap mereka yang suka menyebar fitnah mengenai dirinya seperti orang yang sakit jiwa.

 

Ibrahim berkata, beliau mengesyaki fitnah itu disebar oleh sesetengah pihak yang dikhuatiri marah terhadap beliau kerana lantang bersuara dalam isu tertentu.

 

“Saya amat kesian kepada pembuat fitnah ini dan mereka yg jahat ini amat marah pada saya kerana saya bercakap benar,terus terang dan lantang.

 

“Kepada mereka yang sakit jiwa ini, nasihat saya jumpalah doktor pakar jiwa atau Bomoh yang bertauliah,” kata Ibrahim melalui satu kenyataan melalui mesej aplikasi Whatsapp yang katanya dikeluarkan dari Kem Bina Semangat Meru, Klang.

 

Ibrahim turut menyenaraikan aktiviti beliau sejak 5 Februari lalu bagi menangkis khabar angin yang tersebar memdakwa beliau sedang sakit sejak dua minggu lalu.

 

“Saya menjelajah di seluruh United Kingdom (UK) bermula 5 Februari sehingga 18 Feb 2015.

 

“Program bermula di Manchester (Forum Suara Wanita), kemudian di Malaysia Hall program Majlis Maulidur Rasul dan kemudian program PERKASA Jelajah UK menemui pelajar dan rakyat Malaysia di Edinburgh Scotland, Leeds, Sheafield, Cardiff, Birmingham, Southampton dan Portsmouth.

 

“Sebaik saja saya kembali dari UK pada 19 Februari 2015, pada 20 Februari jam 2 petang (selepas solat jumaat), saya terus ke Kem Bina Semangat di Meru, Selangor untuk menyertai semua ADT (Ahli Dewan Tertinggi) PERKASA, Exco Wira, Wiranita, Wirawati, YDP2 (Yang Di Pertua) PERKASA Negeri, Setiausaha dan Ketua-ketua Penerangan PERKASA Negeri ke Retreat Kepimpinan Perkasa bermula 2 hingga 22 Februuari 2015,” kata Ibrahim.

 

Beliau turut memaklumkan program retreat (pemukiman) itu bertujuan membincangkan Plan Tindakan Strategik Perjuangan PERKASA bagi penggal 2015-2018.

 

Pada 15 Februari lalu, Ibrahim menafikan penyebaran sekeping gambar yang dimuat naik sebuah blog yang memaparkan gambarnya terlantar di sebuah hospital.

 

Dalam kiriman video secara eksklusif kepada The Rakyat Post, Ibrahim berkata beliau sedang berada di Southampton, England bagi memenuhi undangan program bersama pelajar luar negara dan mengesahkan keadaannya yang sihat.

 

Sehari sebelum itu, gambar dengan tajuk ‘Ibrahim Ali Ditimpa Bala Dek Mulut Celuparnya Dakwa Nik Aziz Gagal’ dimuat naik di blog kalamungu.blogspot.com dan menjadi viral.

 

Ia dipercayai dimuat naik ekoran kenyataan Ibrahim yang sebelum itu mengkritik kepimpinan mantan menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi laman Facebooknya.

 

Ibrahim menerima cemuhan dan dikecam orang ramai terutama masyarakat Islam selepas mengeluarkan satu kenyataan yang disifatkan tidak sensitif apabila mengulas mengenai pemergian Nik Aziz ke rahmatullah. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.