Mahathir Gagal, Kita Mulakan Gerakan Desak Peralihan Kuasa PM – Otai Reformasi

KUALA LUMPUR – Otai Reformasi, kumpulan penyokong kuat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad telah gagal mentadbir negara dengan baik sejak menjadi Perdana Menteri ke-7.

Memetik laporan Malaysia Gazette dan FMT, Pengerusi Otai Reformasi, Dr Idris Ahmad berkata dalam tempoh lebih setahun setengah ini tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pencapaian Dr Mahathir dan kabinet kerajaan PH.

“Apakah persepsi masyarakat terhadapan kerajaan? Boleh megah ke? Kalau elok spontan kita akan cakap. Ini satu (pencapaian) pun tidak ada (gagal). Macam mana hendak terus tadbir negara?

“Negara ini CEO adalah Perdana Menteri dan negeri adalah Menteri Besar. Rakyat adalah pengundi dan kita boleh tentukan siapa hendak mentadbir negara.

“Kalau syarikat ada CEO baru, diberi tempoh masa 6 bulan. Ini sudah setahun setengah tak ada tanda-tanda tunjukkan keadaan makin pulih,” katanya ketika berucap di majlis Bual Bicara Bersama Otai Reformasi 1998 yang membincangkan tajuk “Dr Mahathir lepas jawatan Mei 2020?” malam tadi.

Ahmad Idris yang juga Adun PKR bagi kawasan Ijok, Dr Idris Ahmad turut menegaskan, bagi sesebuah organisasi atau syarikat, keadaan ini perlu segera ditangani dan CEO yang gagal wajar diminta meletakkan jawatan.

Di majlis yang sama, penulis buku “Anwar PM ke-8”, Shahbudin Husin pula berkata bermula malam tadi mereka akan memulakan gerakan mendesak peralihan kuasa PM setelah Majlis Presiden PH dilihat gagal berfungsi dalam menentukan tarikh peralihan berkenaan.

“Kenapa Majlis Presiden PH boleh berfungsi untuk pilih siapa calon Perdana Menteri dan pembahagian kerusi tetapi tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa.

“Bermula malam ini, kita akan mulakan gerakan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa seperti mana Mahathir janjikan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta di program berkenaan yang dikenali sebagai Sahrul mencadangkan supaya dimulakan countdown bagi mendesak Dr Mahathir berundur pada 9 Mei tahun ini.

“Saya nak cadangkan supaya kita membuat countdown, kerana Mahathir akan undur diri dalam tempoh dua tahun. Tarikh yang perlu kita buat adalah pada 9 Mei (2020), kita buat mulai Tahun Baru Cina nanti.

“Ia bertujuan untuk memperingatkan rakyat bahawa pada tarikh 9 Mei adalah hari ‘selamat tnggal’ kepada Mahathir. Itu harus digariskan dalam media massa sepanjang masa sehingga tarikh itu,” ujarnya.

Mengulas perkara itu, Dr Idris Ahmad berkata pihaknya boleh melaksanakan cadangan tersebut menerusi kempen di media sosial untuk mengingatkan Mahathir mengenai kenyataannya sendiri berkaitan janji peralihan kuasa.

“Kami akan siarkan video-video yang memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad kata akan jadi Perdana Menteri selama dua tahun sahaja.

“Sama ada dia pelupa atau sengaja lupa. Pendapat saya, seorang umur 94 (tahun) kalau ikut perubatan kena buat ujian memori sama ada dia pas (lulus) atau tidak,” kata Pengerusi Otai Reformasi itu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close