PRU-14: Melayu Kekalkan Kuasa

BERA – Rakyat terutama orang Me­layu perlu terus mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan bukan sahaja hak dan nasib kaum itu terus terbela, malah hidup dalam kehidupan selesa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika dikatakan soal hidup, di mana-mana pun orang Melayu boleh hidup, cuma bagaimana bentuk kehidupan itu.

“Hari ini saya menerima satu WhatsApp yang mengatakan Melayu di Selangor boleh hidup walaupun diperintah pembangkang, orang Melayu di Pulau Pinang juga boleh hidup walaupun negeri itu diperintah pembangkang.

“Melayu tetap hidup, tidak ada siapa kata Melayu mati, Melayu tetap hidup, tetapi kehidupan yang bagaimana. Kuasa tiada, jika DAP memerintah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dimiliki orang Melayu mungkin dibubarkan, Lembaga Tabung Haji mungkin tiada,” katanya ketika berucap dalam Program Pemerkasaan Pasca dan Jentera D-Day Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Bera di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan ADUN Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta pihak pengurusan Felda supaya turun ke tanah rancangan bagi menjelaskan isu membabitkan organisasi berkenaan terutama berhubung isu tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penerangan tepat perlu dilakukan supaya peneroka tidak dikelirukan dengan pelbagai isu khususnya kontroversi hak milik tanah di Jalan Semarak yang mungkin dijadikan modal politik pembangkang.

“Kita berharap isu Felda dijawab sendiri oleh orang Felda yang lebih mengetahui tentang fakta sebenarnya. Perkara sebegini lebih baik diterangkan sendiri oleh mereka daripada orang politik.

“Jika orang politik bercakap, ada yang memandang remeh sebab beranggapan itu hanya cakap-cakap politik, tapi kita sebenarnya mahu masyarakat dapat penerangan yang tepat,” katanya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.