Diganggu Peminat, Aiman Profesional

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah pepatah yang tepat buat penyanyi muda, Aiman Tino.

Masakan tidak, siapa sangka penyanyi yang terjun dalam dunia seni tanpa sengaja berbekalkan single Ku Rela Dibenci menerusi YouTube pada 2016 itu, kini menjadi antara artis tersohor di Malaysia.

Dalam tempoh yang singkat, penyanyi berusia 20 tahun itu meraih pencapaian luar biasa. Selain setiap lagunya berjaya menguasai carta radio, Aiman juga berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 2016.

Terbaharu Aiman membuka tirai 2018 penuh bergaya apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR). Klip video single pertamanya Ku Rela Dibenci telah menerima jumlah tontonan tertinggi di laman perkongsian video, YouTube iaitu sebanyak 41.3 juta dari Mac 2016 sehingga November 2017.

“Tidak sangka dan teruja kerana kemunculan saya dalam industri seni berlaku tanpa dirancang.

“Pengiktirafan ini menandakan saya perlu lebih serius dalam kerja dan harus memperbaiki diri menjadi lebih baik. Ia juga pembakar semangat untuk bekerja lebih keras,” ujar Aiman yang ditemui pada majlis penerimaan sijil MBOR baru-baru ini.

Mengulas kejayaan tersebut, Aiman memberitahu, lagu Ku Rela Dibenci mendapat tontonan yang tinggi di YouTube kerana ketika itu dia masih tidak dikenali ramai.

“Klip video itu mendapat tontonan yang tinggi disebabkan lagu tersebut tiba-tiba popular dan orang masih tidak kenal Aiman Tino.

“Satu-satunya sumber yang mereka boleh kenal Aiman ketika itu adalah YouTube. Faktor itu yang menyebabkan jumlah tontonan naik mendadak,” jelas Aiman.

Berbeza dengan klip video single keduanya, Permata Cinta dan single ketiga, Lara Dalam Kerinduan yang menunjukkan penurunan ketara jumlah tontonan di YouTube.

Klip video single keduanya hanya menerima jumlah tontonan sebanyak 30 juta, manakala single ketiga, 3.9 juta.

Aiman bagaimanapun tidak bimbang dengan penurunan angka tontonan tersebut kerana masyarakat telah mengenali dirinya. Lagu-lagunya juga boleh didengar menerusi pelbagai medium selain YouTube.

Sungguhpun begitu, ada pihak yang mempersoalkan kejayaan Aiman sehingga mendakwa dia membeli jumlah tontonan di YouTube.

Dakwaan tersebut muncul kerana jumlah pengikutnya di Instagram hanyalah 1.1 juta orang dan jika dibandingkan dengan jumlah tontonan di YouTube, ia tidak selari.

“Logiknya, YouTube boleh diakses oleh semua orang termasuk golongan yang tidak mempunyai akaun YouTube.

“Berbeza dengan Instagram, mereka harus buka akaun untuk jadi pengikut saya. Tidak semua peminat kanak-kanak dan golongan berusia ada akaun Instagram, jadi sebab itu angkanya berbeza,” jawab Aiman.

Terima mesej lucah

Bercerita lanjut tentang peminat, tidak semuanya indah. Terbaharu kata Aiman, dia telah menerima mesej lucah daripada individu tidak dikenali di Instagram.

Biarpun terkejut dengan mesej tersebut, Aiman mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikannya.

“Saya baru sedar tentang mesej lucah tersebut baru-baru ini apabila membuka mesej di Instagram.

“Peliknya, mesej tersebut daripada lelaki (ketawa). Memang terkejut tetapi saya memilih untuk tidak mempedulikannya sebab setakat ini perkara tersebut langsung tidak mengganggu ketenteraman dan perjalanan kerjaya seni,” kata Aiman.

Aiman bagaimanapun telah memaklumkan perkara tersebut kepada kedua ibu bapanya.

Kongsi Aiman lagi, selain mesej lucah, dia juga hampir dicium lelaki tidak dikenali selepas mengadakan sebuah persembahan pentas di Kedah baru-baru ini.

“Nasib baik bapa datang dan menghalang lelaki yang pada mulanya hanya ingin bergambar tetapi akhirnya cuba mencium saya.

“Mukanya nampak marah tetapi selepas diteliti lelaki itu sebenarnya tidak waras. Itulah harga yang perlu dibayar apabila menjadi popular tetapi pada masa sama saya tetap berhati-hati dalam aspek keselamatan,” ujar Aiman yang sentiasa ditemani ibu bapanya setiap kali mengadakan persembahan.

Aiman juga berpegang pada prinsip tetap akan melayan baik semua peminat kerana sedar tanpa mereka, dia tidak akan berjaya seperti hari ini.

“Saya bertuah kerana diminati dan memiliki peminat yang ramai. Memang ada pelbagai ragam tetapi saya cuba menanganinya secara profesional tanpa menyinggung perasaan peminat,” ulas Aiman.

Beralih bicara tentang perancangan 2018, Aiman baru sahaja muncul dengan lagu duet bersama kakaknya, Fara Hazel berjudul Terasa Cinta.

Perancangan 2018

Menerusi lagu yang dicipta oleh ibu bapa mereka itu, Aiman memberanikan diri dengan menyanyi secara rap.

“Sebenarnya bahagian rap tidak wujud dalam lagu tersebut. Namun, saya yang beri idea sebab memikirkan ia sesuai.

“Walaupun percubaan untuk menyanyi rap menerima kecaman sesetengah pihak, namun saya berpuas hati sekurang-kurangnya telah mencuba sesuatu yang baharu dan menampilkan sisi berbeza kepada peminat,” kata Aiman.

Kata Fara pula, meskipun mereka adik-beradik, apabila melibatkan kerja, kedua-keduanya sangat komited.

“Aiman tidak boleh berasa selesa dengan kejayaannya dan saya juga harus membuktikan bakat sebagai penyanyi, bukan sekadar kakak kepada Aiman Tino.

“Kerjasama kali pertama ini menerima maklum balas baik daripada peminat. Kami akan keluarkan lagi lagu duet pada masa akan datang,” ujar Fara tentang single keduanya.

Selain itu, Aiman juga bakal muncul dengan single terbaharu pada pertengahan Februari depan.

Menurutnya, lagu yang telah menjalani proses rakaman tersebut merupakan kesinambungan lagu Ku Rela Dibenci.

“Single pertama cukup berjaya dan memiliki kekuatan tersendiri. Justeru, saya perlu mencari material yang setanding atau lebih baik daripada single pertama,” kata Aiman.

Tidak hanya lagu terbaharu, 2018 juga bakal menyaksikan Aiman muncul dengan produk jus kesihatan sendiri yang diberi nama Jus Manno.

“Saya memilih mengeluarkan jus kesihatan untuk nampak berbeza kerana ramai artis mengeluarkan produk kosmetik dan wangian.

“Perniagaan ini hasil perbincangan keluarga kerana saya sedar industri nyanyian ada turun naiknya. Saya perlu ada sesuatu yang kukuh sebagai jaminan masa depan,” terang Aiman.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.