Amaran PAS Kepada PKR, Jangan Campur Aduk Politik Dengan Amanah Rakyat

SHAH ALAM – Kerajaan PKR Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar ketika ini diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu berkaitan dengan politik dalam urusan pentadbiran negeri yang telah diamanahkan oleh rakyat.

Ingatan itu dibangkitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas ditanya mengenai rungutan wakil-wakil rakyat Pas negeri ini yang mendakwa peruntukan tahunan yang sepatutnya diterima mereka pada tahun ini akan dibekukan oleh kerajaan Selangor.

Menurutnya, kerajaan nege­ri mesti membezakan di antara parti-parti politik dengan kerajaan kerana selepas pilihan raya, parti-parti politik yang menang boleh membentuk kerajaan sendiri atau kerajaan campuran.

“Bagaimanapun, jika berlaku sentimen politik dalam memerintah, ia merupakan satu pendekatan yang salah. Selepas pilihan raya, kita mesti menganggap semua rakyat sama ada yang menyokong atau tidak menyokong kita sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Itu pendekatan yang sepatutnya kita gunakan, tidak ada diskriminasi dan tak ada pilih-pi­lih parti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Pas Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa Himpunan Fastaqim 2.4 di Seksyen 17 di sini semalam.

Hadir sama dalam himpunan yang dihadiri lebih 700 ahli serta penyokong Pas itu ialah dua Naib Presiden parti itu masing-masing, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad serta Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehen Mukhyi.

Khamis lalu, Sallehen dilapor menyatakan hasrat Pas Selangor untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai jalan terakhir sekiranya kerajaan negeri ini gagal menyelesaikan masalah pengagihan peruntukan kawasan kepada wakil-wakil rakyat mereka dengan segera.

Menurut Sallehen, tindakan itu dijangka dilakukan selepas beliau menerima maklumat daripada pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor bahawa peruntukan kawasan kepada wakil-wakil rakyat Pas pada tahun ini akan dibekukan.

Namun katanya, sebelum menghadap Sultan Selangor, Sallehen menyatakan pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Mohamed Azmin terlebih dahulu mengenai agihan peruntukan tersebut membabitkan jumlah RM800,000 setahun.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar Selangor da­ripada Pas pada PRU-14 berkata, pihaknya tidak akan menamakan senarai tersebut sehinggalah proses pilihan raya selesai.

“Kita tak mahu buat andaian, kita tunggu lepas PRU-14. Sama ada Pas akan terus sokong Mohamed Azmin (sebagai Menteri Besar Selangor), kamu (wartawan) boleh baca (buat telahan) sendirilah,” ujarnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.