UMNO Kelantan Tubuh Tabung Baik Pulih Masjid Terjejas

Kuala Krai: Badan Perhubungan UMNO negeri mewujudkan Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan untuk membina dan membaiki masjid yang terjejas banjir.

 

Pengerusi Biro Agama UMNO Kelantan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penubuhan tabung itu adalah satu inisiatif mempercepatkan usaha pemulihan masjid dan surau yang rosak akibat banjir.

 

Katanya, dianggarkan sebanyak RM20 juta diperlukan bagi tujuan itu kerana terdapat banyak masjid dan surau yang terjejas teruk ditenggelami banjir.

 

“Keperluan itu adalah bagi membaik pulih, membina kembali masjid dan menggantikan peralatan yang rosak.

 

“Kami masih mengumpul data bagi memperoleh jumlah sebenar masjid dan surau yang rosak di negeri ini dengan dana permulaan sebanyak RM500,000.

 

Salur Sumbangan

 

“Dengan penubuhan tabung ini, ia dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan bagi membantu memulihkan kembali masjid di negeri ini.

 

“Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pemulihan Masjid Banjir Kelantan, akaun bank Affin Islamic 106580511159,” katanya di sidang media selepas aktiviti membersihkan Masjid Kuala Pertang, di sini semalam.

 

Yang turut hadir adalah Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman bersama sukarelawan dan penduduk sekitar bagi membersihkan Masjid Kuala Pertang yang terjejas teruk akibat banjir itu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.