Tidak Akan Bercuti Dari Menulis – Kadir Jasin

PETALING JAYA: Wartawan veteren, Datuk A.Kadir Jasin menyatakan bahawa beliau tidak akan pernah berhenti untuk menulis kerana sejak awal hingga akhir beliau adalah seorang wartawan.

 

Kata beliau, situasi itu berbeza dengan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang pernah menyertai politik dan berkhidmat dalam kabinet.

 

Menurutnya, beliau tidak pernah mahu merajuk, mogok seni, bercuti daripada menulis dan tidak pernah menutup blognya.

 

“Saya menulis sejak di bangku sekolah lagi dan menjadi wartawan tanpa putus-putus sejak tahun 1969. Tahun ini masuk tahun ke-46 saya jadi wartawan dan bulan hadapan genaplah sembilan tahun blog ini,” tulisnya di dalam entri terbaru blog www.kadirjasin.blogspot.com.

 

“Tidak ada apa-apa yang boleh menyebabkan saya dalam dilema, serba salah dan gusar apabila menulis mengenai politik dan orang politik,” kata Kadir.

 

Bukan itu sahaja, tindakan Zainuddin dan beberapa wartawan ‘politikus’ yang memilih untuk menjadi makhluk dua alam yang melompat antara dunia kewartawanan dan politik.

 

Bagaimanapun, Kadir yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times tetap menyatakan bahawa beliau menghormati keputusan Zainuddin dan menggesa Zainuddin meneruskan penulisan.

 

“Nampaknya Zam kecewa dan begitu tersentuh apabila teguran beliau terhadap pemerintah, khususnya kepada kawan lamanya Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak, dianggap persekongkolan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin,” ujarnya.

 

Selain itu, dakwaan Zainuddin yang menyatakan bahawa beliau bukannya penulis upahan dan tidak pernah menjadi penulis upahan beliau sifatkan sebagai hujah teknikal.

 

“Saya adalah penulis upahan. Saya katakan begitu kerana menang saya diupah menulis oleh syarikat saya dan saya juga diberi upah oleh akhbar dan majalah yang menyiarkan karya saya. Perdana Menteri pun diupah untuk memerintah negara. Makan upah halal adalah tidak salah

 

“Cuma dalam menulis blog ini saja tidak diupah atau ditaja oleh sesiapa. Sebaliknya saya keluarkan duit sendiri dan guna masa sendiri,” jelasnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.