Sivarasa Gesa AG Letak Jawatan, Cuai Biarkan Sirul Ke Luar Negara Ketika Dalam Kes

Kuala Lumpur – Peguam Negara (AG) digesa meletak jawatan ekoran kecuaiannya menyebabkan Korporal Sirul Azhar Umar dibenarkan ke luar negara ketika kes anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang dituduh membunuh Altantuya Shaariibu belum selesai.

 

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu, tanpa kehadiran Sirul sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 dan menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau dan seorang lagi anggota UTK, Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

 

Ahli Jawatankuasa Pusat dan Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, Tan Sri Abdul Gani Patail cuai apabila tidak memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Sirul sehingga membenarkan beliau melarikan diri daripada dikenakan hukuman kerana membunuh wanita Mongolia itu.

 

“Kegagalan AG mengakibatkan keadaan di mana Sirul telah dibenarkan untuk meninggalkan negara ini dan melarikan diri daripada pendengaran di Mahkamah Persekutuan, dan pembebasannya telah diterbalikkan dan sabitannya dipulihkan.

 

“Dalam mana-mana negara lain di mana budaya akauntabiliti diamalkan, AG akan meletakkan jawatannya dengan serta-merta,” kata Sivarasa dalam kenyataan.

 

Ahli Parlimen Subang itu berkata, selepas keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan kedua-dua mereka, beliau pernah mempersoal mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membuat permohonan waran tangkap di bawah Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

 

Menurutnya, waran itu masih mengekalkan tertuduh di dalam tahanan atau melepaskannya dengan jaminan, sementara menunggu pendengaran rayuan AG terhadap keputusan itu.

 

Jelas beliau, permohonan sedemikian lazimnya dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya dalam keadaan apa-apa pembebasan untuk memastikan tertuduh hadir apabila proses rayuan AG didengari.

 

“Perkara ini yang tidak berlaku dan dilakukan dalam kes berprofil tinggi sehingga menimbulkan persoalan tentang perlakuan perkara itu,” katanya.

 

Sambung Sivarasa, selepas rayuan AG difailkan di Mahkamah Persekutuan, terdapat satu lagi peluang untuk membuat permohonan yang sama menggunakan Seksyen 66 di bawah akta sama bagi perintah jenis yang sama.

 

“Sekali lagi ini tidak dilakukan. Adakah ini disengajakan? Ketinggalan yang sangat ketara dan begitu sukar untuk diterangkan adakah diakibatkan daripada kecuaian,” ujarnya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.