Sehingga Malam Tadi Kesihatan Nik Aziz Baik – Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Dari waktu petang hingga ke lewat malam tadi, kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan dalam keadaan baik.

 

Perkembangan status tersebut dikemas kini anak beliau yang juga Ahli Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh melalui akaun Facebooknya. Ia adalah status kelima mengenai keadaan bapanya yang disampaikan melalui saluran media sosial tersebut sejak 19 Januari lalu.

 

“Petang dan malam ini, ayahanda berkeadaan baik. Para doktor berusaha memastikan ayahanda minum lebih banyak untuk menambah tenaga dan garam dalam tubuh yang agak menurun,” ujarnya.

 

Menurut Nik Mohamad Abduh, bapanya acap kali sedar dan mampu bertanya khabar.

 

“Setiap kali sedar, beliau akan bertanya mengenai waktu solat dan minta diperdengarkan bacaan al-Quran oleh ahli keluarga. Beliau beberapa kali menegur bacaan yang silap,” jelasnya yang turut memberitahu, ada antara tetamu yang hadir menziarahi Nik Aziz berpeluang berkomunikasi dengan beliau.

 

Nik Mohamad Abduh juga menyampaikan salam kepada bapanya daripada beberapa pemimpin parti dan negara selain menyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia sedang mendoakan untuk bapanya.

 

Nik Aziz, menurut Nik Mohamad Abduh, dalam wajah ceria menjawab , “Alhamdulillah, moga kembali sihat.”

 

Beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada petang Isnin, 19 Januari lalu kerana keadaan kesihatan yang merosot.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.