PM Tiba Di Switzerland Untuk Hadir Forum Ekonomi Dunia

Zurich (Switzerland): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang bermula hari ini.

 

Beliau tiba di Zurich ExecuJet Terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich pada jam 10.10 malam waktu tempatan (5.10 pagi waktu Malaysia), disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor dan isteri, Datin Anna Amalina Imam Baweh.

 

Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia dalam forum ke-45 itu dengan tema kali ini, Konteks Baharu Global.

 

Najib yang hadir untuk kali kedua dalam WEF sejak menjadi Perdana Menteri, dijadual menyampaikan perkara penting dalam pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

 

Menerusi 10 negara anggota, Asean mempunyai 600 juta penduduk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah AS$2.4 trilion atau kira-kira RM8.4 trilion, menjadikannya yang ketujuh terbesar di dunia.

 

Beliau juga akan mengambil kesempatan berbincang dengan pemimpin komuniti perniagaan dan ekonomi untuk kepentingan negara.

 

Selain itu, kehadiran Perdana Menteri bakal membuka ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan promosi peluang pelaburan dan perdagangan pada Malam Malaysia, di akhir forum pada Jumaat ini.

 

Selain Najib, ketua kerajaan dan ketua negara yang hadir ialah Raja Abdullah II dari Jordan dan Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi.

 

Forum tahunan itu diadakan di Davos, kawasan pelancongan pergunungan dan sukan ski yang suhu mencecah negatif 15, di Graubunden, di timur pergunungan Alps, kira-kira dua jam memandu dari Zurich.

 

Lebih 40 pemimpin dunia dijadual hadir, termasuk 2,500 peserta terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, ahli akademik, pakar dan pembuat dasar dari 140 negara.

 

Najib juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kazakhstan, Karim Massimov; Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan Perdana Menteri, Mark Rutte.

 

Beliau juga akan bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.