PLKN Bukan Program Membazir – Abdul Hadi

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan dan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil menyangkal tuduhan seorang pemimpin pembangkang kononnya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksanakan sejak 2004 adalah sebuah program yang membazir.

 

Beliau berkata adalah tidak wajar untuk menilai keberkesanan PLKN yang sudah 10 tahun dilaksanakan, hanya berdasarkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan PLKN tahun ini bagi merasionalisasi perbelanjaan kerajaan.

 

“Pembangunan manusia akan memakan masa yang lama berbanding pembangunan fizikal yang boleh dilihat dalam masa dua atau tiga tahun. Kalau dia (Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seoang) kata tak berjaya, dia nak banding dengan apa?

 

“Pembangunan modal insan dan pembangunan fizikal adalah dua perkara yang berbeza. PLKN berjaya melahirkan anak muda dengan semangat nasionalisme dan jati diri yang tinggi,” katanya yang dipetik Bernama.

 

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Teo yang dilapor sebagai berkata berkata bahawa kritikan pembangkang terhadap PLKN hanya membazir sumber kerajaan adalah benar dan tepat. Teo berpandangan PLKN melibatkan perbelanjaan besar namun hasilnya tidak begitu baik.

 

Teo juga berkata ini merupakan masa paling sesuai untuk mengkaji semula keperluan PLKN sama ada ia wajar diteruskan ataupun dihentikan.

 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara mengumumkan PLKN tahun ini ditangguhkan dengan penjimatan sebanyak RM400 juta bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik.

 

Abdul Hadi berkata keputusan kerajaan untuk menangguhkan PLKN tahun ini tentunya dilakukan setelah mengambil kira semua aspek dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

 

“Untuk menilai semula sama ada PLKN selepas 10 tahun berjaya atau tidak, tidak boleh dilihat hanya pada keputusan kerajaan semata-mata kerana keputusan penangguhan hanya dibuat sekarang ketika perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara tidak begitu baik,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Abdul Hadi, yang bersara pada 29 September tahun lepas sejak memegang jawatan itu pada 1 Feb 2007, berkata satu kajian dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk universiti untuk menilai keberkesanan program PLKN, melibatkan lebih 60,000 responden iaitu bekas pelatih, ibu bapa, pensyarah dan ketua masyarakat pada 2009.

 

“Rumusannya, PLKN berjaya mencapai 80 peratus objektif penubuhannya. Namun, ini tidak bermakna kerajaan tidak boleh menilai dan mengkaji semula PLKN. Adalah dangkal untuk membandingkan pembangunan modal insan dengan pembangunan fizikal,” katanya.

 

PLKN ditubuhkan bagi meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda; memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional; membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni; menyemarakkan semangat kesukarelawan dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.