Penyelam Jumpa Mayat Masih Di Tempat Duduk Berdekatan Fiuslaj Pesawat

PANGKALAN BUN: Penyelam Indonesia hari ini menemui lima mayat yang masih berada di tempat duduk dan bersemat tali pinggang keselamatan berdekatan bahagian utama pesawat AirAsia yang terhempas ke Laut Jawa bulan lalu.

 

AFP melaporkan bahawa kumpulan penyelam pencari dan penyelamat terbabit berharap dapat mendekati bahagian fiuslaj pesawat tersebut hari ini setelah dikesan kedudukannya.

 

Sejumlah 58 daripada 162 mangsa kini sudah ditemui berikutan nahas pesawat AirAsia QZ8501 pada 28 Disember lalu akibat terbang dalam keadaan cuaca ribut dari Surabaya ke Singapura.

 

“Penyelam kami telah menemui lima mangsa terbenam dalam lumpur berdekatan dengan bahagian fiuslaj pesawat. Mereka masih memakai tali pinggang keselamatan di kerusi masing-masing.

 

“Kami percaya mereka telah tercampak keluar dari fiuslaj sehingga 50 hingga 100 meter,” ujar pegawai agensi SAR, S.B. Supriyadi.

 

Tiga jasad telah diangkat dan dibawa ke kapal perang Banda Aceh, sementara dua lagi sedang cuba dibawa keluar.

 

Tambahnya, pasukan penyelam masih berusaha mendekati bahagian utama pesawat tersebut, yang dipercayai menempatkan lebih ramai penumpang dan kru kabin namun berdepan cabaran jarak penglihatan sejauh dua meter.

 

“Namun, hari ini agak cerah dan kita perlu optimis bahawa penyelam dapat sampai ke bangkai pesawat,” ujarnya.

 

Bahagian utama pesawat Airbus A320-200 itu telah dikesan di lantai laut oleh kapal tentera minggu lalu dalam pencarian terperinci di perairan cetek Indonesia, namun kekuatan arus bawah air dan permukaan bergelora memberi cabaran kepada misi SAR.

 

Kotak hitam pesawat termasuk perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan telah ditemui minggu lalu dan kini sedang dianalisa pihak penyiasat.

 

Menteri Pengangkutan Indonesia Ignasius Jonan minggu ini menyatakan bahawa pesawat itu telah terbang secara mendaki dengan laju sebelum ia terhenti lalu jatuh ke dalam laut.

 

Beberapa detik sebelum pesawat tersebut hilang dari radar, juruterbang telah meminta kebenaran untuk terbang lebih tinggi bagi menghindar cuaca buruk namun permintaan itu tidak segera diluluskan berikutan lalu lintas udara yang sesak.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.