Malaysia Minta Kerajaan China Beri Senarai Pengganas

PUTRAJAYA 21 Jan. – Malaysia telah meminta kerajaan China memberikan senarai suspek serta biometrik milik individu-individu yang disyaki pengganas dari republik itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan mereka ditahan sekiranya transit di negara ini.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu penting kerana ada di antara mereka yang dikatakan berjaya menyusup masuk ke negara ini dari negara jiran sebelum pergi ke negara ketiga dan seterusnya ke Syria dan Iraq.

 

Katanya, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam, China, Meng Hongwei sehingga kini terdapat lebih 300 rakyat negara berkenaan terlibat dengan aktiviti keganasan di Syria dan Iraq.

 

“Beliau tidak dapat pastikan berapa jumlah yang masuk ke Malaysia tetapi saya minta supaya senarai suspek dengan biometrik mereka (diberikan) kepada KDN.

 

“Semuanya ini kita akan serahkan kepada pihak polis supaya biometrik dan maklumat-maklumat lain yang diperoleh akan membolehkan penahanan dilakukan terhadap mereka yang termasuk dalam senarai suspek,” katanya.

 

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Hongwei di pejabatnya di sini hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan China akan terus meningkatkan kerjasama dalam usaha kedua-dua negara tersebut memerangi aktiviti keganasan.

 

“Walaupun kita mempunyai perjanjian dengan China untuk mengatasi masalah ini dengan melakukan counter-terrorism tetapi masalah ini lebih berat lagi apabila wujudnya jalinan di peringkat antarabangsa iaitu antara pengganas-pengganas dari China dengan pengganas-pengganas di rantau ini.

 

“Ertinya sekarang China memandang ancaman keganasan ini sebagai sesuatu yang harus ditangani segera dan akan terus mendapatkan kerjasama dengan Malaysia,” katanya.

 

Bagaimanapun setakat ini kata Ahmad Zahid, tiada maklumat yang kumpulan pengganas dari China tersebut mempunyai hubungan dengan penduduk negara ini.

 

Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga, Hongwei turut diberitahu tentang langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia bukan sahaja dari segi tangkapan tetapi juga pemantauan serta langkah-langkah pencegahan.

 

“Ini akan diperkuatkan apabila bulan Mac nanti KDN akan membentangkan Rang Undang-Undang Pencegahan Terrorisme di Dewan Rakyat,” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.