Lelaki Buruan Lolos Guna Van Polis Akhirnya Ditahan Polis

Kepala Batas – Selepas dua tahun menjadi buruan polis, dua lelaki yang meloloskan diri ketika dibawa dengan van polis dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterwoth, akhirnya ditahan di Jitra, Kedah.

 

Seorang daripada lelaki terbabit, berumur 38 tahun, ditahan di kawasan kebun getah di Kampung Akar Batu, pada 11.30 malam tadi manakala rakannya berumur 40 tahun ditahan di sebuah rumah kosong di Kampung Bukit Wang, pada pukul 3.30 pagi ini.

 

“Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan oleh polis Kedah ketika sedang mengutip daun ketum di kebun berkenaan,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan ‘Ops Kesan Gelugor’ yang ditubuhkan selepas kejadian pada 9 pagi 7 Januari 2013 itu bergegas ke Jitra selepas dimaklumkan polis Kedah berhubung penahanan itu dan hasil siasatan terhadap lelaki terbabit membawa kepada penahanan seorang lagi tahanan yang melarikan diri itu.

Dalam kejadian pada Januari 2013, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas membaling serbuk cili kepada anggota polis.

Mereka turut memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring itu dengan tangan mereka yang bergari.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam pada 10 Januari 2013.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.

Dua lagi ditahan pada 12 Jan 2013 masing-masing di Kampung Petani, Kubang Semang dan di Pasar Awam Penanti manakala seorang lagi ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam pada 13 Januari 2013.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan, dua lelaki yang ditahan di Jitra itu sentiasa bersama sejak meloloskan diri dan hidup berpindah randah bagi mengelak dikesan polis.

 

“Mereka juga pernah tinggal di negara jiran sebelum tinggal di Kedah,” katanya. Beliau berkata, dua lelaki terbabit turut menukar identiti iaitu seorang menyimpan rambut panjang manakala seorang lagi memotong rambut potongan Mohawk bagi mengelak dikenali.

“Sebelum bekerja sebagai pemetik daun ketum, mereka membuat pelbagai kerja bagi menampung kehidupan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kedua-dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan dadah, samun dan curi itu juga positif dadah.

Kedua-dua mereka direman petang ini bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.