Awie Masih Jaga Tiga Anak Hasil Perkahwinan Dengan Rozana

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Penyanyi rock dan pelakon, Awie masih menjaga tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Rozana Misbun biarpun hak penjagaan sementara yang diberikan kepada vokalis Wings itu telah dibatalkan berikutan sijil pernikahan mereka disahkan palsu.

 

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, Mahkamah Tinggi Syariah di sini sebelum ini tidak pernah mengeluarkan arahan agar menyerahkan hak penjagaan sepenuhnya kepada Rozana seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar pada 15 Januari lalu.

 

Jelasnya, sehubungan itu, sebagai bapa dan berpendapatan tetap, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga tiga orang anaknya berbanding Rozana yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

 

“Hak penjagaan sementara yang diberikan kepada saya sejak Jun 2014 telah dibatalkan disebabkan sijil pernikahan palsu, namun hakim tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyerahkan hak penjagaan kepada Rozana. Mungkin sebab itu, pemberita salah menterjemahkan apa yang telah diputuskan hakim.

 

“Sekarang ini, saya adalah punca rezeki buat anak-anak sedangkan Rozana tidak mempunyai pendapatan. Jadi sebagai bapa, sewajarnya mereka berada di bawah jagaan saya agar segala keperluan boleh dipantau dengan baik,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar kedua Konsert Wings Menakluk Kosmos, di sini hari ini.

 

Bagaimanapun, menurut Awie, walaupun diberi kebenaran untuk melawat anak-anak, isterinya itu langsung tidak berbuat demikian, sekalipun menerusi panggilan telefon.

 

“Cuma baru-baru ni sahaja dia ada bertanyakan khabar anak-anak, itu pun melalui orang gaji saya, bukannya secara terus.

 

“Hak penjagaan tidak boleh diputuskan selagi sijil pernikahan yang diiktiraf perundangan syariah negara diperoleh,” jelasnya kepada pemberita. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.