Adi Sedia Bawa Watak Aksi Ranjang

Kuala Lumpur – Pelakon Adi Putra, 33, memberitahu dia tidak akan berhenti berlakon meskipun kini sudah bergelar Haji. Malah, status itu tidak membatasnya menerima tawaran watak jahat atau jahil mahupun melakukan babak panas dalam filem dan drama.

 

Jelasnya, jika babak melibatkan aksi di ranjang atau adegan bersentuhan, dia bersedia melakukannya sebagai memenuhi tuntutan pengarah atau skrip.

 

“Saya tidak akan berhenti berlakon. Kalau ditawarkan watak panas, saya masih terima kerana itu kerja dan itu juga satu ibadah.

 

“Contohnya, aksi saya merangkak di atas katil ketika penggambaran dan ketika itu ada pengarah serta kru melihat saya. Aksi itu bukan saya lakukan secara tersembunyi dan saya melaksanakan perwatakan itu sudah di kira satu ibadah.

 

“Melainkan saya melakukannya dengan cara tersembunyi atau secara senyap, itu sudah menjadi haram dan maksiat. Jika watak saya memerlukan saya menyentuh perasaan orang menerusi karakter sebagai jahat dan jahil, saya perlu tunjukkan.

 

“Kadang-kadang bukan bersentuhan tetapi ia adalah teknik kamera. Kebaikan dan untungnya kita mempunyai Lembaga Penapisan Filem (LPF).

 

“Watak jahat ataupun watak panas, itu pekerjaan yang namanya tetap ibadah dan saya akan laksanakan pada masa sama tetap mengikut garis panduan dan seimbangkan hidup antara duniawi dan ukhrawi,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem terbaru, Isyarat Cinta,  baru-baru ini.

 

Kata pelakon kelahiran Singapura ini lagi, dia tidak kisah jika ada pihak yang mempertikai lakonannya malahan menyifatkan ia sebagai satu doa yang memberikan kejayaan buat dirinya.

 

“Apabila orang membuat andaian itu sudah jatuh keaiban dan anggapan manusia jika ia negatif, kita mendapat pahala,” katanya yang pernah mengerjakan haji pada tahun lalu.

 

Beralih mengenai Isyarat Cinta membawa genre romantik, Adi memainkan watak lelaki bisu dan pekak bernama Iskandar.

 

Katanya, senang berkeja di bawah arahan Bade Azmi serta dua lagi teraju utama filem tersebut iaitu Liyana Jasmay dan Fizo Omar kerana masing-masing profesional.

 

“Saya memang selalu teringin bekerja dibawah arahan abang Bade. Dulu saya pernah datang ujibakat untuk filemnya, Castello tetapi ketika itu saya tidak terpilih, mungkin belum cukup ilmu.

 

“Tidak lama selepas itu saya dapat peluang berlakon telefilem arahan beliau dan sekarang terbabit dengan filem ini dan sebuah lagi filem baru, Kanang.

 

“Macam saya dengan Liyana, untuk adegan romantik sekejap saja kami dapat jiwai sebab mungkin Liyana pun sering berlakon filem cinta dan dia tidak rasa segan untuk melakonkan babak itu,” katanya.

 

Dalam mempelajari karakter secara mendalam, Adi menyatakan dia banyak melihat dan mempelajari cara kehidupan orang kurang upaya (OKU). Malah, sepanjang penggambaran lakonan Adi diperhatikan jurubahasa OKU untuk memastikan gerak gaya bahasa isyarat yang dilakukannya tidak salah dan dapat difahami.

 

“Apa yang mencabar apabila saya tidak boleh bercakap. Jadi, sukar sebenarnya untuk hidupkan karakter itu lebih-lebih lagi apabila satu ketika Iskandar hendak meluahkan rasa cintanya terhadap Dhia (Liyana) tapi dia tak boleh nak luahkan menerusi percakapan.

 

“Kalau boleh bercakap, lebih mudah untuk Dhia faham apa yang hendak Iskandar sampaikan. Cara saya sampaikan bahasa isyarat harus nampak ‘natural’ dan bukan saja buat Dhia tapi penonton juga boleh terus faham,” katanya.

 

Selain drama lakonannya Zahirah kini sedang hangat disiarkan di TV3, Adi juga sibuk dengan penggambaran drama Kak Yong berganding bersama Yan Samsuddin. Dia juga sibuk memberi tumpuan pada perniagaannya yang menyediakan pakej umrah yang dijalankan menerusi Hadid Travel & Tours yang diusahakan sejak awal tahun lalu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.