Ahli PPBM Mula Lihat Kemasukan Bekas Pemimpin UMNO Sebagai Ancaman?

PADA asalnya, fenomena wakil-wakil rakyat UMNO untuk memberi sokongan serta menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM / Bersatu) mungkin dilihat hanya kebetulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Namun, semakin hari semakin ramai ahli serta pemimpin UMNO yang berpaling dari parti yang dianggap keramat dan merisik untuk menjalin ikatan bersama Bersatu.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah dalam nada jenaka sebelum ini menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang keluar daripada parti tersebut seperti semut yang mencari gula.

Katanya, keadaan tersebut mungkin disebabkan sikap segelintir pemimpin yang tidak biasa dihimpit kesusahan seperti yang dihadapi pada masa ini.

Rentetan itu, timbul gerakan akar umbi UMNO yang melihat situasi itu sebagai kegagalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semenjak beliau mengambil tampuk kepimpinan, tidak nampak sebarang usaha besar untuk menyatukan ahli parti selain perangsang untuk melihat UMNO kembali bangkit selepas insiden kritikal pada PRU14 lalu.

Hasil dari tidak bertindak tegas, UMNO kehilangan Sarawak, Gerakan, lebih setengah daripada pemimpin parti Sabah, ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan yang terakhir di ugut MCA untuk membubarkan Barisan Nasional (BN).

Adakah ini kebetulan atau dirancang supaya exodus (penghijrahan beramai-ramai) pemimpin-pemimpin UMNO keluar dengan hasrat untuk memasuki Bersatu satu cubaan untuk menimbulkan huru-hara?

Suara sumbang

Sudah mula ada suara-suara sumbang dari kalangan ahli-ahli Bersatu yang melihat kemasukkan bekas-bekas ahli UMNO seperti ancaman.

Mereka takut hilang kedudukan serta dipandang sepi oleh pemimpin atasan Bersatu sendiri selepas selama ini malah ada sejak awal sudah mengambil risiko berjuang demi kemenangan parti.

Tambahan, di kalangan Pakatan Harapan (PH) pula, sudah ada suara-suara keras berkumandang terutama dari DAP.

Secara jelas, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai menegaskan, DAP tidak bersetuju dengan tindakan mana-mana parti komponen PH menerima Ahli Parlimen UMNO yang mahu melompat parti.

Tegasnya, tindakan menerima Ahli Parlimen UMNO disifatkan sebagai amalan tidak sihat, apatah lagi usia kemenangan PH dalam PRU14 lalu belum menjangkau enam bulan.

Itu tidak termasuk antara lain desakan daripada akar umbi Bersatu Kelantan yang menggesa pucuk kepemimpinan parti supaya tidak menerima wakil rakyat daripada UMNO.

Mereka berpendapat, tidak wajar Bersatu mengambil ‘sampah’ dari UMNO sewenang-wenangnya sedangkan mereka sebelum ini antara yang menentang dan memperlekeh parti itu.

Huru-hara

Huru-hara terkini yang berlaku dalam gabungan PH di atas tindakan kemungkinan Bersatu mengambil ahli-ahli UMNO sekali gus menguatkan dan mungkin menjadikan Bersatu sebagai parti dengan jumlah kerusi terbesar dalam PH.

Kemasukan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sendiri menimbulkan 1,001 persoalan.

Adakah beliau merupakan ‘hantaran’ UMNO dengan niat untuk memecah-belahkan PH memandangkan sejarah pahitnya dengan DAP dan sejarah Lim Guan Eng sendiri yang terpaksa dipenjarakan kerana membela peremuan bawah umur yg dikaitkan dengannya?

Individu seperti Rahim seperti kata kebanyakan akar umbi UMNO sebenarnya sudah tidak berharga lagi di dalam parti tetapi penghijrahannya ke Bersatu pula amat berharga untuk UMNO kerana ternyata ia boleh memecah-belahkan keharmonian di dalam PH.

Apakah penghijrahan Rahim itu kebetulan atau sengaja dirancang oleh mereka yang bijaksana di dalam UMNO?

Adakah fenomena keluar beberapa pemimpin UMNO ke dalam PH satu tanda positif atau negatif untuk parti pembangkang kini?

Mestikah UMNO sendiri membuat majlis kesyukuran atau tahlil ‘kematian’ selepas fasa penghijrahan pemimpin parti ke PH akhir-akhir ini?

Biarlah UMNO dan PH yang menjawabnya … – Awani

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

One thought on “Ahli PPBM Mula Lihat Kemasukan Bekas Pemimpin UMNO Sebagai Ancaman?

  • December 23, 2018 at 9:47 am
    Permalink

    Tk perlu pun ambil pemimpin2 dulu tu?? Fikir lah?? Hanya rosak toksik sampah??
    Kenapa dulu sblm pru14 dia org tk masuk PH? Yg berjuang sblm pru14 itu lah aset PH?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.