Demi Ibu, Najwa Pilih Universiti Tempatan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Najwa Latif, melupakan hasratnya untuk menyambung pengajian di United Kingdom (UK) demi ibu tercinta.

Menurut penyanyi Cinta Muka Buku itu, ibunya, Zarina Saamah, ‘tidak sedap hati’ dengan perancangan beliau untuk belajar di luar negara memandangkan dirinya sendiri tak pernah terpisah jauh daripada keluarga.

Najwa, 22, sebaliknya meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana di Universiti Malaya (UM), sejak September lalu.

“Saya membatalkan hasrat untuk menyambung pelajaran di UK kerana keluarga. Ibu tidak sedap hati dengan keputusan saya untuk ke sana. Tambahan pula, saya tidak pernah belajar di tempat yang begitu jauh daripada mereka.

“Sejak September lalu, saya menyambung pengajian di UM, mengambil jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL). Insya-Allah, kursus ini tamat dalam masa setahun setengah,” katanya kepada BH Online.

Kata Najwa, beliau tidak kecewa dengan keputusan itu kerana menyifatkan ilmu boleh dicari di mana-mana selagi disertakan usaha.

“Saya tidak kisah di mana-mana sahaja, asalkan dapat belajar. Sama ada di luar mahupun dalam negara, kita pasti akan menimba pengalaman yang tersendiri,” ujarnya.

Penyanyi yang sudah enam tahun terbabit dalam dunia muzik itu menerima ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR) di Putrajaya, hujung minggu lalu.

Sementara itu, kata Najwa, satu daripada sasarannya pada tahun ini adalah menamatkan pengajian, seterusnya menggenggam segulung ijazah.

“Mahu maklumkan kepada Mama, Kak Iza, Kak Ika, Abang Farihin, Adik, Abang Azahari dan semua orang, saya sudah bergelar graduan. Alhamdulillah,” tulisnya di laman Instagram pada hari konvokesyen berkenaan.

Perkongsian Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif itu meraih maklum balas ramai, dengan masing-masing berkongsi kegembiraan beliau selain mengucapkan tahniah kepadanya.

Rata-rata berharap penyanyi bertubuh kecil molek yang aktif menghasilkan dendangan sendiri itu terus menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai, khususnya generasi muda.

Sebelum ini, Najwa sanggup memperlahankan kerjaya nyanyiannya bagi menghadapi tahun akhir pengajian selain fokus terhadap latihan amali di sebuah sekolah, Mac lalu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.