PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa Nahas Bas Di Thailand

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa sedih terhadap kejadian kemala­ngan bas di Chiang Mai, Thailand yang mengorbankan 13 rakyat Malaysia, semalam.

 

Dalam akaun Facebook milik beliau, Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

 

“Kerajaan akan memastikan segala usaha dibuat bagi membawa pulang jenazah serta bantuan diberikan kepada keluarga mangsa,” katanya.

 

Sementara itu, di BATU PAHAT, Syarikat pelancongan Chiu Travel Sdn. Bhd., yang menguruskan rombongan kesemua pelancong tersebut sedang berusaha mengenal pasti identiti 13 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas di utara Thailand.

 

Pengurus Besarnya, Terence Yung berkata, setakat ini lima lelaki dan lapan wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 80-an di­sahkan maut dalam kemalangan itu.

 

Menurutnya, seramai 22 peserta yang kesemua mereka berasal dari daerah ini mengikuti rombongan tersebut sejak 17 Disember lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air hari ini.

 

“Mereka menaiki penerbangan dari Singapura ke Chiang Mai untuk bercuti selama lima hari empat malam di sana dan sepatutnya tiba pada pukul 3 petang esok (hari ini) di Singapura sebelum bertolak balik ke Batu Pahat menaiki bas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini malam tadi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.