Mohd Hasif Pilih Tinggal 
Bersama Emak Saudara

KUALA TERENGGANU – “Insya Allah, saya akan jaga anak saudara ini (Mohd. Hasif) sebagai anak sendiri sampai bila-bila. Saya akan cuba penuhi hasrat arwah abang saya, Mohd. Halim yang mahu anak bongsunya ini menjadi seorang jurutera yang juga seorang hafiz macam dia (Mohd. Halim)”.

 

Demikian luahan Dr. Siti Sabariah Samian mengenai masa depan Mohd. Hasif, 9, memilih untuk tinggal bersamanya di Klang, Selangor setelah kehilangan bapa, ibu serta tiga kakaknya yang lemas dihanyutkan arus di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, kelmarin.

 

Menurut Siti Sabariah, Mohd. Hasif yang sangat rapat dengan dua anaknya iaitu Abdullah Azzam Annur Azalan, 12, dan Abdullah Altah Addris Azalan, 11, akan dibawa pulang bersamanya hari ini dan bakal belajar di Sekolah Rendah Ibnu Khaldun, Klang.

 

“Fokus awal untuk menenangkannya. Sebentar tadi pun kami dikunjungi seorang kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan saya akan bawanya berjumpa dengan pakar psikiatri,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga kakak iparnya, Allahyarham ‘Adilah @ Salaiwati Awang di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini petang semalam.

 

Dalam kejadian kelmarin, bapa Mohd Hasif, Mohd. Halim Samian, 44,yang berasal dari Batu Pahat Johor dan ibunya, Nurul ‘Adilah @ Salaiwati, 39, serta tiga kanaknya iaitu Nurul ‘Arifah, 16, Nurul Hidayah Aina, 11, dan Nurul Izah, 10, dihanyutkan arus deras dalam lemas dalam pusaran air.

 

Mohd. Halim yang dibantu isteri mengusahakan syarikat kejuruteraan di Puncak Alam Selangor banyak terlibat dalam gerak kerja kemasyarakatan di samping menjadi imam surau di kawasan penempatannya.

 

Mohd. Hasif terselamat kerana berada di daratan sewaktu kejadian namun menyaksikan bagaimana ibu dan ayahnya turut lemas ketika cuba menyelamatkan kakak-kakaknya yang terkapai-kapai dilanda gelombang air secara mengejut.

 

Siti Sabariah yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, merupakan anak ke-11 daripada 17 beradik itu turut terharu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang membantu menguruskan jenazah lima ahli keluarganya.

 

Mohd. Hasif ketika ditanya mengenai masa depannya selepas ini hanya mampu berkata: “Saya nak tinggal dengan sepupu saya.”

 

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad razif Abdul Rahman yang menziarahi keluarga itu petang semalam berkata, pihaknya sedia menjadikan anak yatim piatu sebagai anak angkat kerajaan negeri.

 

Beliau telah mengarahkan Yayasan Terengganu (YT) mengambil tindakan selanjutnya berhubung perkara itu dalam usaha membantu menjamin masa depan Mohd. Hasif terutama dalam bidang pendidikan namun semua itu bergantung kepada keluarga mangsa.

 

Menyentuh isu keselamatan di kawasan hutan lipur, beliau berkata, keperluan membina pintu air atau baraj di kawasan Belukar Bukit dan Sekayu sebagai persediaan menghadapi aliran air deras sehingga mengancam keselamatan pengunjung di samping penyediaan siren kecemasan sedang diteliti. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.