Langgar Lari Punca Nahas Bas Di Thailand

KUALA LUMPUR – Kemalangan bas persiaran di Chiang Mai, utara Thailand yang menyebabkan 13 warga Malaysia maut dipercayai berpunca daripada kenderaan itu dipandu laju.

 

Menurut laporan Chiang Rai Times, polis Thai dilaporkan berkata, bas berkenaan dikatakan telah melanggar sebuah kenderaan di Mae Khajan, di Chiang Rai dan dikejar pemandu kenderaan berkenaan.

 

Pemandu bas terbabit mula memecut dan memandu secara berbahaya apabila menyedari bas yang dipandunya diekori kenderaan berkenaan.

 

Satu lagi media Thailand, Bangkok Post melaporkan, pemandu bas berkenaan dikenali sebagai Somporn Bualuang, 58, dilaporkan melanggar sebuah trak pikap di Mae Khajan dan gagal memberhentikan kenderaannya.

 

Bas berkenaan kemudiannya dikejar kenderaan lain menyebabkan pemandu itu memecut sebelum hilang kawalan.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand, Chatchai Promlert dipetik sebagai berkata oleh media Thai, bas yang dalam perjalanan dari wilayah Chiang Mai melanggar kenderaan lain dan terbabas sebelum merempuh sebatang tiang lampu sebelum terhumban ke tebing.

 

Dalam pada itu, Pengurus syarikat Chiu Travel Sdn Bhd, Terence Yung berkata, 15 ahli keluarga mangsa warga Malaysia akan mengambil penerbangan Thai Airways ke Bangkok melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan menaiki penerbangan jam 5 petang ke Chiang Mai.

 

Mereka dijangka akan ke Bangkok jam 1 petang hari ini.

 

Insiden berkenaan berlaki di Lebuhraya Chiang Mai-Chiang Rai di perkampungan Ban Pan Fan, sub daerah Pa Mianh di Doi Saket kira-kira jam 11.30 pagi pada Ahad.

 

Kira-kira jam 9 malam semalam, 13 mangsa membabitkan lima lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 dan 80 tahun dilaporkan maut.

 

11 warga Malaysia dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

Pemandu Pelancong warga Thai berusia 34 tahun, Pattara Promjaijom turut maut di tempat kejadian manakala pemandu bas terbabit terselamat dan hanya mengalami kecederaan dan kini berada dalam tahanan polis di Hospital Doi Saket.

 

Keluarga mangsa yang maut akan menerima 1.6 juta baht (RM190,447) setiap seorang daripada syarikat insurans serta bantuan daripada Tourism Thailand serta Kementerian Sukan, menurut Gabenor Chiang Mai, Pawin Chamniprasarn.

 

Kerajaan Thai turut menanggung bil rawatan sehingga 50,000 baht (RM5,951) bagi setiap rawatan kecederaan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.