Insiden Salah Umum Pemenang Miss Universe Jadi Viral

LAS VEGAS – Kesilapan pengacara pertandingan akhir pertandingan Miss Universe 2015, Steve Harvey, mengumumkan nama peserta Colombia, Ariadna Guttierez, sebagai pemenang menjadi viral di media sosial.

 

Harvey selaku hos ‘memberikan harapan palsu’ kepada Guttierez dengan menobatkan wanita terbabit sebagai pemenang pertandingan ratu cantik berkenaan, yang sepatutnya menjadi milik peserta Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach.

 

Guttierez, 21, menitiskan air mata ketika diumumkan sebagai Miss Universe yang baharu dan sempat menggayakan mahkota bertatahkan berlian itu di kepalanya kira-kira 10 minit.

 

Malah, peminat yang hadir turut bersorak meraikan kemenangan beliau.

 

Namun, kegembiraan peserta dari Sincelejo itu berakhir dalam sekelip mata sebaik saja Harvey memohon maaf di atas kesilapan besar beliau lakukan apabila salah ketika mengumumkan nama pemenang.

 

Lelaki terbabit turut menayangkan skrip sebenar bagi membuktikan kesilapan dilakukan olehnya.

 

Kekeliruan berkenaan mengundang rasa simpati orang ramai terhadap Guttierez kerana perlu berhadapan dengan situasi memalukan.

 

Malah, Wurtzbach, 26, yang juga pelakon dan personaliti TV kacukan Filipina-Jerman kelihatan kaget dan tergamam dengan insiden tidak sepatutnya berlaku itu.

 

Sementara itu, tanda pagar #MissUniverse2015 menjadi viral dan topik bualan ramai di seluruh dunia hari ini, dengan rata-ratanya melahirkan rasa kasihan dengan nasib menimpa peserta dari Colombia itu. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.