Anugerah Bola Keputusan Politik, Tuduhan TMJ Dibidas Ramai

KUALA LUMPUR — Tuduhan yang dilemparkan Tunku Ismail Ibrahim yang mengaitkan keputusan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2015 bersifat politik dibidas dalam beberapa media hari ini, termasuk oleh bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail.

 

Beliau berkata, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sewajarnya tidak mengeluarkan tuduhan tidak berasas yang disifatkannya boleh mencemarkan imej dan prestasi bola sepak negara.

 

“Selaku individu yang berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan, saya berpendapat Tunku Ismail tidak boleh membuat tuduhan tidak berasas hingga mencalarkan imej FAM sebagai badan induk bola sepak negara,” katanya merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia.

 

Tunku Ismail sebelum ini menganggap keputusan ABK dipengaruhi sentimen politik walaupun pasukannya Johor Darul Ta’azim (JDT) menguasai lapan daripada 17 kategori yang ditawarkan.

 

Penaung kelab itu mempersoalkan kemenangan Kelab Penyokong Terbaik yang dimenangi ”Elephant Army” dari Pahang, membandingkannya dengan sambutan penyokong-penyokong Kedah yang dianggap lebih hebat.

 

Bahkan baginda juga tidak berpuas hati dengan percalonan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan sebagai Anugerah Jurulatih Terbaik yang dimenangi jurulatih JDT, Mario Gomez.

 

“Hanya disebabkan nama ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan dicalonkan anugerah Jurulatih Terbaik dan anugerah Penyokong Terbaik milik kelab Pahang, itu dikatakan politik,” ujar Jamal, lapor Harian Metro.

 

“Dalam kes ini saya tidak berniat untuk menyebelahi mana-mana pihak, rasa tidak puas hati tidak mungkin dapat dikikis,” katanya lagi.

 

Sementara itu, akhbar Berita Harian pula melaporkan tindakan TMJ itu seolah-olah memusuhi pasukan Pahang apabila tidak mahu Tok Gajah tersenarai dalam pencalonan anugerah itu.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia Kevin Ramalingam pula memaklumkan segala keputusan dalam anugerah itu ditentukan menerusi sistem pengundian.

 

72 pengundi yang terdiri daripada 24 jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media dipilih bagi membuat keputusan itu.

 

Namun kata Kevin, pertikaian TMJ terhadap keputusan itu kemungkinan atas faktor kekeliruan dan segala keputusan yang ditentukan pengundi sememangnya tidak boleh ditukar.

 

“Mungkin TMJ keliru dengan pemilihan pemenang anugerah itu,” lapor akhbar itu.

 

JDT menggondol lapan daripada 17 kategori yang ditawarkan dalam ABK, dengan kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim yang membantu JDT memenangi tiga gelaran musim ini dipilih selaku Pemain Tengah Terbaik selain turut menjadi Pemain Paling Bernilai.

 

JDT yang dikenali sebagai skuad Harimau Selatan turut meraih kategori Jurulatih Terbaik menerusi Mario Gomez dari Argentina manakala pemain kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik, dan Mohd Farizal Marlias sebagai Penjaga Gol Terbaik.

 

FAM kini masih diterajui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ahmad Shah, walaupun baginda pernah menyampaikan hasrat ingin meletak jawatan bulan September lepas apabila Harimau Malaya dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE). – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.