African Hacker Berpangkalan Di Malaysia Turut Godam Sistem IT Universiti Central Michigan

KUALA LUMPUR – Sindiket African Hacker yang didalangi warga Nigeria dan beroperasi di Malaysia didedahkan tidak hanya menyasarkan entiti perniagaan di negara ini, malah institusi di luar negara juga tidak terlepas menjadi mangsa.

 

Antara kes mengejutkan pihak berkuasa adalah sebuah institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) turut digodam oleh sindiket yang berpangkalan di Malaysia, beberapa bulan lalu.

 

Akibat daripada aktiviti terbabit, Universiti Central Michigan di Atlanta, Georgia kerugian kira-kira AS$1 juta (RM4.2 juta) sekelip mata.

 

Sumber berkata, kejadian itu mengejutkan pihak berkuasa di sana.

 

Kata sumber, sindiket itu telah menggodam sistem pembayaran gaji kakitangan universiti berkenaan hanya menerusi e-mel.

 

“Suspek melakukan modus operandi sama seperti di Malaysia iaitu menggodam menerusi e-mel dan dalam kes universiti itu, mereka bukan sahaja menggodam sistem gaji untuk memperoleh transaksi tunai malah turut mengutip maklumat kakitangan dan pelajar institusi terbabit bagi tujuan penipuan lain.

 

“Kes itu mendapat perhatian serius daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS yang akhirnya membuat siasatan dan mendapati jenayah berkenaan dilakukan di Malaysia. Mereka dapat mengesan alamat protokol internet (IP) suspek yang berpangkalan di sini,” katanya di sini baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut tentang siasatan kes berkenaan, sumber menjelaskan, pihak FBI telah berkongsi maklumat dengan Interpol dan Bukit Aman bulan lalu termasuklah menyerahkan alamat IP tersebut untuk tindakan lanjut.

 

“Pihak berkuasa AS hanya boleh memberikan IP dan apabila PDRM melakukan siasatan, IP yang diberikan itu didaftarkan oleh sebuah kafe siber yang terletak di Lembah Klang. Bagaimanapun tiada maklumat lengkap lain diperoleh.

 

“Itu bermakna sindiket ini boleh beroperasi di mana-mana sahaja di negara ini dan hanya bermodalkan akses Internet,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan itu, sumber memberitahu, hasil siasatan lanjut, pasukan JSJK akhirnya berjaya menahan individu yang bertanggungjawab pada 29 dan 31 November lalu di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, di sini.

 

“Dua lelaki warga Nigeria yang berusia 31 tahun berjaya ditangkap dan salah seorang daripada mereka adalah pakar penggodam.

 

“Kejayaan itu difahamkan mengejutkan pihak FBI kerana berjaya menyelesaikan kes berkenaan dengan pantas,” katanya yang memberitahu, dua suspek itu telah diekstradisi ke AS untuk proses perundangan di negara terbabit. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.