Teruja Jala Mengena Patin

Kuala Terengganu – Seorang peniaga makanan teruja apabila seekor ikan patin tersangkut pada jalanya ketika dia sedang asyik menjala ikan darat di parit tali air Kampung Gong Baru, di sini, pagi kelmarin.

Mohd Napi Taib, 42, berkata, apabila air surut, dia akan turun ke parit berkenaan sekiranya ada kelapangan untuk menjala ikan sebagai juadah keluarga.

“Memang saya terkejut sebab tidak pernah pula dapat ikan patin sebelum ini. Biasanya dapat ikan keli, sepat dan ikan darat lain, tetapi kali ini rezeki saya dapat ikan patin.

“Bukan saya seorang sahaja yang dapat ikan patin, tetapi ramai lagi yang dapat ikan sama kali ini. Mereka juga terkejut bercampur seronok, sama seperti saya,” katanya ketika ditemui di parit tali air berkenaan.

Napi yang keluar menjala sejak jam 7 pagi semalam, terus pulang ke rumah setelah mendapat ikan patin untuk dijadikan juadah tengah hari keluarganya.

Sementara itu, menurut seorang warga emas, Awang Abu Bakar, 72, dia sejak kecil lagi minat menjala walaupun tidak gemar makan ikan darat.

“Pakcik suka menjala sahaja. Kalau dapat ikan, pakcik bagi kepada jiran atau saudara-mara. Kalau banyak lebih, baru jual. Pakcik pernah dapat ikan darat sehingga enam kilogram sehari, tetapi bukan selalu datang menjala.

“Kalau rasa ‘gian’ hendak menjala, baru pakcik datang. Saja habiskan masa terluang sambil jumpa kawan-kawan yang minat menjala seperti pakcik,” katanya.

Menurut datuk kepada 28 cucu ini lagi, parit berkenaan sering menjadi tumpuan penjala ikan kerana pelbagai ikan dapat diperoleh terutama ketika air surut.

“Boleh dikatakan setiap hari tanpa mengira siang atau malam, ada sahaja orang menjala atau memancing datang ke sini,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Parit, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.