SPAD Tampil Buat Penjelasan Berhubung Isu Pemandu Teksi Dipenjara

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyatakan pihaknya tidak bertindak zalim susulan empat pemandu teksi yang dijatuhkan hukuman penjara disebabkan ketiadaan kad pemandu yang sah.

Menerusi satu kenyataan SPAD berkata hukuman dan denda yang dikenakan adalah mengikut peruntukan undang-undang dan kebijaksanaan mahkamah.

“SPAD mahu memperbaiki reputasi industri teksi negara yang telah tergugat akibat tindakan segelintir pemandu teksi; ibaratkan ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’,” kata SPAD dalam kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut berkata walaupun kad pemandu itu satu dokumen pengenalan yang ringkas, implikasinya besar terhadap keselamatan penumpang.

Jelas SPAD, di dalam kes yang melibatkan empat pemandu teksi yang telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai kad pemandu, SPAD telah mengeluarkan kompaun pada asalnya, dengan jumlah yang paling minima iaitu RM500.

“Setelah diberikan peringatan dan amaran yang sewajar, mereka didapati masih enggan membayar kompaun-kompaun tersebut.

“Tempoh purata yang diberikan bagi menjelaskan kompaun, di dalam kes empat pemandu tersebut adalah antara 454 hingga 653 hari,” kata SPAD.

Tambahnya, disebabkan kelewatan menjelaskan kompaun, mereka telah didakwa di Mahkamah.

“Dua daripada pemandu teksi tersebut dikenakan denda dan penjara selama sehari. Dua lagi pemandu diarah membayar denda atau masing-masing dikenakan hukuman penjara selama dua dan tiga bulan,” kata SPAD.

Suruhanjaya itu turut mengalu-alukan sokongan semua pemandu teksi untuk bekerjasama di dalam menaikkan mutu perkhidmatan dan martabat industri teksi negara. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.