SPAD Siasat 13 Kesalahan, Terus Buru UBER

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengenalpasti 13 kesalahan membabitkan perkhidmatan aplikasi Uber.

“Sehingga kini 13 kesalahan membabitkan UBER telah disiasat dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010,” kata SPAD dalam satu kenyataan.

Ia melibatkan enam kes gagal mengemukakan Lesen Pengendali, enam kes beroperasi tidak mengikut kelas lesen dan satu perkhidmatan tanpa permit.

“Di sini Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa sungguhpun aplikasi UBER itu tidak menyalahi undang-undang secara kasarnya, penggunaan kenderaan berlesen yang sesuai diperlukan dan syarat-syarat pengendali perlu dipatuhi.

“SPAD tidak akan berkompromi apabila melakukan tindakan ke atas kenderaan yang menggunakan UBER yang tidak mematuhi undang-undang dan syarat-syarat dan terma,” tambahnya.

Operasi juga tidak terhad di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja.

Pada September 2014, SPAD telah mengenalpasti lapan syarikat yang menggunakan aplikasi UBER dengan pembabitan sejumlah 50 buah kenderaan, dimana 20 buah daripadanya tidak mempunyai permit yang sesuai.

SPAD turut mendapati bahawa ia perlu membuat penerangan kepada syarikat terbabit mengenai keperluan undang-undang dan syarat-syarat pengendali.

“Suruhanjaya telah memberikan peringatan agar pemandu berlesen PSV, insurans dan kenderaan berdaftar yang sesuai sahaja boleh digunakan oleh UBER,” kata SPAD.

UBER merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar.

Ditubuhkan pada 2009, ia menawarkan perkhidmatan di lebih 200 bandaraya di serata dunia.

Perkhidmatan ini mula memasuki pasaran Asia pada Februari pada tahun lepas di Singapura dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara atas talian dan aplikasi. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.