Shukor Adan Umum Bersara Dari Bola Sepak

Kuala Lumpur – Selepas kebal mengemudi benteng pertahanan pasukan negara, kapten Harimau Malaya Shukor Adan tetap bertegas kejohanan Piala AFF Piala Suzuki 2014 kekal menjadi pentas penampilan antarabangsanya yang terakhir, lapor portal berita BH Online.

Meskipun menampilkan persembahan cemerlang, terutamanya ketika bertindak sebagai pertahanan tengah yang sering kali kelihatan lantang memberikan arahan kepada barisan pertahanan yang sekali-sekala alpa, Shukor, 35 tidak pernah bercadang untuk mengubah pendiriannya itu.

“Saya perlu bersara.

“Saya memutuskan inilah kejohanan terakhir saya dan saya tidak mahu mengubah fikiran saya sekarang.

“Saya kembali kerana hormat saya kepada Dollah Salleh dan bermain untuk negara dan saya amat bangga untuk melihat peminat sentiasa berada di belakang kami sepanjang kempen kali ini,” kata Shukor kepada BH Online.

Disulami kritikan ketika dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan oleh jurulatih Dollah Salleh, Shukor menegaskan tindakan Dollah untuk memanggilnya kembali berbaloi.

“Ada ramai yang mengkritik keputusan jurulatih (Dollah) kerana membawa masuk ramai pemain berusia ke dalam pasukan dan saya lega kami memperoleh peluang untuk membuktikan mereka salah.

“Begitupun, inilah masanya untuk generasi muda pemain Malaysia untuk tampil dan mengambil alih,”

Ternyata, pasukan Malaysia berjaya mencipta kejutan demi kejutan dan hampir menjulang kejuaraan, dengan skuad yang dikatakan paling tidak bersedia untuk menghadapi kejohanan bola sepak terbesar di Asia Tenggara ini.

Bagaimanapun, skuad yang dibarisi oleh ramai pemain senior ini terus gagah, sehingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum hampir merangkul Piala AFF Suzuki sebelum dikecewakan dalam tempoh 20 minit terakhir final semalam.

Pada perlawanan akhir semalam, skuad negara mendahului pasukan Thailand 3-0, sekaligus mendahului secara argegat menerusi dua gol daripada Safiq Rahim, dan Indra Putra Mahyuddin.

Tetapi, skuad Thailand bangkit dengan dua gol dalam tempoh 10 minit sekaligus menobatkan pasukan Gajah Perang ini sebagai pemenang bagi Kejohanan Piala AFF Suzuki pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.