Semangat Juang Harimau Malaya Dipuji

Kuala Lumpur – Meskipun impian skuad bola sepak negara untuk menjulang Piala AFF Suzuki 2014 tidak kesampaian, selepas tewas kepada Thailand dengan agregat 4-3, Awang Selamat Utusan Malaysia masih berbangga dengan pemain kebangsaan Malaysia.

Dalam ruangan editorial Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat berkata, pasukan kebangsaan sudah memaparkan semangat juang yang tinggi, dengan jaringan tiga gol pada separuh masa pertama perlawanan.

“Tetapi, nasib lebih memihak kepada Thailand, kerana mereka mempunyai pemain lebih tangkas dalam separuh masa kedua.

“Kita tidak perlu malu, kerana Brazil yang merupakan antara pasukan bola sepak terhebat di dunia, pun pernah kalah di halaman sendiri dengan jaringan 1-7,” katanya.

Menurutnya, pemain tidak perlu rasa bersalah, meskipun Harimau Malaya gagal menjulang Piala AFF Suzuki kali ini.

“Meskipun hanya menjadi naib juara, prestasi Harimau Malaya dalam saingan AFF Suzuki tahun ini jauh lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Kemenangan pada separuh akhir, ketika menentang Vietnam di halaman lawan dengan kemenangan besar, merupakan satu persembahan yang paling diingati rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dia juga yakin Harimau Malaya akan bangkit semula pada masa hadapan.

“Oleh itu, kita berharap semua pihak yang berkenaan, khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pengajaran berharga untuk meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negara.

“Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara di persada antarabangsa, seperti zaman 60-an dan 70-an dahulu,” katanya.

Awang Selamat turut mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.