Palanivel Tidak Akan Letak Jawatan Presiden MIC

Kuala Lumpur – Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan hanya kerana didesak oleh sebilangan ahli parti itu yang ‘kecewa kerana tewas dalam pemilihan’.

“Mereka adalah orang yang mendesak saya untuk meletak jawatan. Bagaimana saya mahu meletak jawatan. Ini adalah kumpulan kecil tetapi mereka bukan daripada kepimpinan tertinggi, mereka di peringkat bawahan.

“Saya tidak peduli tentang semua ini. Malah saya masuk ke dalam kereta dan mereka tidak pernah datang dekat dengan saya. Saya berlalu pergi,” katanya lapor mStar.

Palanivel didesak untuk meletakkan jawatan oleh sebilangan ahli parti itu yang mengadakan demonstrasi sewaktu mesyuarat tergempar MIC, Khamis lalu.

Malah, kumpulan berkenaan menggantung kain rentang dan membawa sepanduk mendesak Ahli Parlimen Cameron Highlands itu turun daripada kerusi presiden parti, menyaksikan parti itu berada dalam krisis dalaman yang agak teruk.

Demonstrasi itu diketuai oleh anak lelaki bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu iaitu Pengarah Strategik MIC, Datuk Seri S.Vell Paari dan bekas Ketua Pemuda, Datuk T.Mohan.

Mengulas lanjut, Palanivel selain itu berkata beliau mendapat sokongan daripada sebilangan besar ahli dan pimpinan parti untuk terus menerajui parti berkenaan.

“Parti kita begitu kuat, seramai 1,000 ahli hadir untuk menyokong saya, kesemua pegerusi MIC negeri dan cawangan ada di sana.

“Hanya sebilangan kecil yang mencetuskan huru-hara, berkelakuan seperti samseng dan bertindak ganas – kita mesti tahu siapa mereka.

“Mereka cuba mencetuskan provokasi dan kumpulan saya mahu bertindak balas tetapi mereka tidak, mereka hanya berdiam diri,” ujarnya lagi.

Demonstrasi berkenaan dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati sebilangan ahli berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) kerana didakwa salah di sisi undang-undang.

Ekoran itu, Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 5 Disember lalu membatalkan keputusan pemilihan tiga Naib Presiden dan 23 jawatan CWC semasa pemilihan MIC di Melaka, November tahun lalu, dan mengarahkan parti itu untuk mengadakan semula pemilihan untuk jawatan yang berkenaan.

“Kami sudah menang pemilihan itu. Mereka tidak menyalahi undang-undang. Bagaimana CWC yang dipilih boleh dikatakan menyalahi undang-undang? Ia tidak boleh jadi begitu. Calon Pemuda menang, Wanita menang, saya menang, Timbalan menang, semua Naib Presiden juga begitu dan CWC menang dengan majoriti baik.

“Sudah jelas mereka yang tewas hanya mahu mencetuskan masalah di dalam parti,” kata Palanivel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.