Orang Melayu Pengemis: Kit Siang Cabar Tun M Debat

Kuala Lumpur – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berdebat secara terbuka berhubung kebenaran orang Melayu telah hilang kuasa politik hingga terpaksa menjadi pengemis di negeri mereka sendiri.

Menurut Kit Siang, beliau mempersoal adakah Tun Dr. Mahathir benar-benar percaya selepas 57 tahun kerajaan UMNO memerintah dan enam orang perdana menteri yang mana 22 tahun atau 39 peratus daripada tempoh tersebut merupakan pemerintahannya menyebabkan orang Melayu kehilangan kuasa dan terpaksa menjadi pengemis.

“Sekiranya benar, ia merupakan sebab utama kenapa orang Melayu dan rakyat Malaysia perlu mengeluarkan UMNO dari Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang supaya kegagalan selama 57 tahun itu tidak berulang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu, kebimbangan Dr. Mahathir itu adalah tidak berasas serta tidak berpijak dengan realiti yang berlaku pada masa kini.

Jelasnya, majoriti jawatan tertinggi dan utama dalam negara ini termasuklah timbalan perdana menteri, menteri kewangan, pendidikan, peguam negara, ketua angkatan tentera termasuklah ketua-ketua jabatan dan juga naib canselor di universiti awam terdiri daripada orang Melayu.

Beliau berkata, Dr. Mahathir memberitahu orang Melayu telah kehilangan kuasa dan adakah perdana menteri, timbalan perdana menteri, ketua penjawat awam, hakim, ketua-ketua jabatan, naib canselor universiti merupakan boneka kepada orang Cina?

“Hanya orang tidak waras sahaja yang akan bersetuju dengan pendapat tersebut dan adalah sesuatu yang tidak masuk akal bagaimana seorang bekas perdana menteri selama 22 tahun boleh percaya dengan sampah seperti itu.

“Oleh itu, saya mencabar Dr. Mahathir untuk berdebat secara terbuka bagi membincangkan sejauh mana kebenaran kenyataan beliau bahawa orang Melayu telah kehilangan kuasa politik dan terpaksa menjadi pengemis di negeri mereka sendiri,” tegasnya.

Pada Sabtu, Tun Dr Mahathir dipetik sebagai berkata masyarakat Melayu sudah hilang dominasi dan telah diremehkan sehingga menjadi ‘pengemis’ kepada orang Cina.

“Sekarang UMNO, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS perlu meminta sokongan daripada DAP untuk memenangi pilihan raya umum. Apabila kita menjadi pengemis, kita tidak lagi mempunyai kuasa,” katanya selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan 2020’ di Dewan Auditorium, Akademi Kenegaraan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.