Mangsa Culik Abu Sayyaf Dilayan ‘Seperti VIP’

Kota Kinabalu – Chan Sai Chuin yang diculik kumpulan Abu Sayyaf selama enam bulan di selatan Filipina, “tidak seperti dirinya yang dulu” ketika mula-mula dibebaskan dan kembali ke rumahnya di Perak, awal Disember.

Isterinya, Chin Pek Nyen, 42 memberitahu suaminya “tidak seperti dulu” tetapi tidak lama selepas itu dia kembali “riang seperti dulu”.

“Suami juga susut berat badan kerana menurutnya, dia sering bersenam ketika berada dalam tahanan,” kata Chin dalam suatu kenyataan.

Sepanjang masa ditahan katanya, suaminya juga mendapat layanan VIP (orang yang penting) ketika berada di tangan penculiknya, dengan kesihatan dan pemakanannya dijaga dengan baik.

Chin, memberitahu, segala makan minum suaminya dijaga dengan baik bagi memastikan kesihatannya sentiasa terjaga.

“Mereka (penculik) tidaklah menakutkan seperti yang didakwa,” katanya memetik apa yang diberitahu suaminya kepada saudara mara yang melawat mereka.

Penculik juga katanya, bercakap dengan baik kepada suaminya dengan tidak menaikkan suara keras atau menggunakan perkataan yang kesat. Malah, jika suamianya digigit nyamuk, salah seorang penculik akan segera menyapu ubat pada kulitnya.

Mereka katanya, tidaklah nampak menakutkan tetapi menambah mereka tidak tahu apa yang kumpulan ini mampu lakukan jika permintaan mereka tidak dipenuhi.

Penculik mengugut jika permintaan mereka tidak dipenuhi, Chan akan dibunuh.

Chan, 32, diculik lelaki bersenjata dari Filipina, dipercayai militan Abu Sayyaf ketika menggeledah ladang ternakan ikan miliknya di Kunak pada 16 Jun. Beliau dibebaskan pada 9 Disember selepas perunding dipercayai menyerahkan sejumlah besar wang tebusan kepada kumpulan itu.

Pembebasan itu berlaku hasil rundingan di antara utusan Filipina dan Abu Sayyaf yang dipercayai diketuai oleh Sadawan bersaudara di Jolo.

Ketika dalam tahanan, suaminya memberitahu bahawa penculik-penculiknya sering memberitahu kisah mengenai mangsa culik lain, termasuk nasib polis marin Konstabel Zakiah Aleip yang diculik di Mabul Water Bungalows Semporna pada 12 Julai.

Bagaimanapun, Chin tidak pernah berjumpa dengan polis itu kerana ditahan di kawasan berasingan.

Chin tidak mendedahkan wang tebusan yang diterima oleh penculik yang membawa kepada pembebasan suaminya tetapi dipercayai angkanya mencecah hampir sejuta ringgit.

Kira-kira 10 juta peso (RM780,000) dipercayai diserahkan kepada Abu Sayyaf untuk membebaskan penternak itu. Jumlah yang diminta sebelum ini ialah 30 juta peso (RM2.34 juta) tetapi dikurangkan selepas rundingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.